Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland
Foto : Ihsan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB) hari ini telah mengadakan Majlis Pembubaran Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sesi 2024-2026 serta Majlis Pelantikan Jawatankuasa Eksekutif PIBG Sesi 2026–2028.
Majlis berkenaan sekali gus menandakan peralihan kepimpinan persatuan dalam usaha memperkukuh jalinan kerjasama antara pihak maktab dengan ibu bapa demi kecemerlangan pelajar.
Majlis dihadiri oleh pengetua, para pensyarah, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif PIBG yang bakal menamatkan perkhidmatan dan yang baharu dilantik, serta ibu bapa pelajar Tingkatan 6 Bawah.
Antara pengisian majlis ialah pembubaran Jawatankuasa Eksekutif PIBG Sesi 2024-2026, penyampaian sijil penghargaan kepada ahli jawatankuasa yang telah menamatkan perkhidmatan, pemilihan serta pengumuman Jawatankuasa Eksekutif PIBG bagi Sesi 2026-2028, diikuti penyerahan rasmi tugas dan tanggungjawab kepada barisan kepimpinan baharu.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua MDPMAMB, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad, merangkap Penasihat PIBG, merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Eksekutif PIBG Sesi 2024-2026 atas dedikasi, komitmen dan khidmat sukarela yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Beliau seterusnya berkata, majlis berkenaan bukan sahaja melambangkan proses peralihan kepimpinan yang teratur, malah mencerminkan hubungan kerjasama yang kukuh dan berterusan antara pihak maktab dengan ibu bapa dalam menyokong kecemerlangan akademik serta pembangunan sahsiah dan kesejahteraan pelajar secara holistik.
Menurutnya lagi, sepanjang sesi 2024-2026, PIBG telah memberikan sokongan terhadap pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada warga maktab, antaranya Lawatan Muhibah ke Labuan, Projek Amal Jubli Emas yang diadakan sepanjang Ramadan pada 2025 dan 2026, serta sumbangan bahan pengajaran dan pembelajaran yang membantu memperkukuh proses pendidikan di maktab.
Dayangku Hajah Nooramaliatifah turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi PIBG Sesi 2024-2026, iaitu Awang Mohd. Zain bin Haji Mohiddin, serta seluruh ahli jawatankuasa eksekutif atas komitmen yang tidak berbelah bahagi serta sokongan berterusan terhadap pelbagai program dan aktiviti anjuran maktab.
"PIBG merupakan rakan strategik yang amat dihargai kerana kerjasama erat yang terjalin telah menyumbang secara signifikan kepada kejayaan serta kesejahteraan para pelajar.
"Saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa eksekutif PIBG yang baharu bagi sesi 2026-2028 yang baharu dilantik dan melahirkan keyakinan bahawa barisan kepimpinan tersebut akan terus memperkukuh hubungan kerjasama antara ibu bapa dengan pihak maktab, di samping menggalakkan inovasi, penglibatan komuniti serta menyokong kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah dan kesejahteraan menyeluruh pelajar," ujarnya lagi.
Hasil pemilihan yang dijalankan, Awang Haji Md. Arriffen bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Abd. Wahid telah dipilih sebagai Pengerusi PIBG bagi sesi 2026-2028.
Beliau bersama barisan jawatankuasa eksekutif yang baharu akan menerajui persatuan dalam memperkukuh lagi kerjasama antara ibu bapa dan pihak maktab serta menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif ke arah melahirkan pelajar yang cemerlang, berdaya saing dan seimbang.
Majlis diakhiri dengan bacaan Surah Al-'Asr, diikuti sesi bergambar ramai sebagai simbol peralihan kepimpinan yang lancar serta iltizam bersama untuk terus memperkukuh kerjasama antara pihak maktab dan ibu bapa dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti demi manfaat para pelajar.