Berita dan Foto : Ihsan Majlis Perundingan Mukim Berakas ‘B’
BERAKAS, Khamis, 23 Julai. - Program ‘Sentuhan Ihsan: Menyantuni Komuniti’ anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Berakas ‘B’ diteruskan lagi baru-baru ini, dengan lawatan ke sebuah keluarga di Kampung Sungai Akar sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mendekati penduduk serta meneliti keperluan mereka di peringkat komuniti.
Mengetuai rombongan ialah Penghulu Mukim Berakas ‘B’, Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah, bersama Ketua Kampung Sungai Akar Kawasan 2, Awang Haji Muhammad Wafil Wafee bin Haji Ramlee.
Lawatan kali ini menyantuni sebuah keluarga yang diketuai oleh seorang warga emas yang kini menetap bersama isterinya di sebuah rumah sewa. Difahamkan, keluarga berkenaan pernah menerima bantuan sewa rumah daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), manakala permohonan bagi penyambungan bantuan tersebut sedang dalam penelitian oleh pihak berkenaan.
Sepanjang lawatan, rombongan turut meneliti keadaan semasa keluarga berkenaan serta mengenal pasti keperluan dan bentuk bantuan susulan yang bersesuaian. Bagi meringankan beban sementara yang dihadapi, Majlis Perundingan Mukim Berakas ‘B’ telah menyampaikan sumbangan barangan keperluan asasi melalui Program Sentuhan Ihsan.
Program tersebut bukan sahaja menjadi platform kepada Pemimpin-pemimpin Akar Umbi untuk menyantuni penduduk, malah membolehkan isu-isu kebajikan dikenal pasti lebih awal bagi memudahkan penyelarasan bersama agensi-agensi berkaitan agar bantuan dan sokongan yang bersesuaian dapat dipertimbangkan mengikut keperluan.
Pelaksanaan Program Sentuhan Ihsan adalah selaras dengan amanat Yang Berhormat Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa sesi perjumpaan bersama Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung Zon 1 dan Zon 2, Daerah Brunei Muara pada April 2026 yang lalu, yang antara lain menekankan kepentingan Pemimpin-pemimpin Akar Umbi untuk terus mendampingi masyarakat, memahami isu dan cabaran yang dihadapi penduduk, serta bertindak sebagai penghubung yang berkesan antara rakyat dengan agensi-agensi kerajaan dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara.