Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Julai. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) mengumumkan bahawa tindakan penguatkuasaan telah diambil berikutan satu pemeriksaan yang dijalankan di sebuah tapak kerja pembinaan yang terletak di Jalan Madang, Kampung Manggis Satu.
Tindakan penguatkuasaan tersebut adalah berkaitan dengan kegagalan untuk mematuhi Peraturan 4, Penyediaan Peti Pertolongan Cemas di bawah Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Pertolongan Cemas). Sehubungan itu, satu denda kompaun berjumlah BND500 telah dikenakan ke atas occupier premis berkenaan.
Susulan daripada pemeriksaan tersebut, pihak yang bertanggungjawab ke atas premis berkenaan telah mengambil langkah-langkah pembetulan yang perlu bagi menangani ketidakpatuhan yang dikenal pasti.
SHENA menegaskan dan menyarankan semua pihak bahawa pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, Bab 277 serta peraturan-peraturan subsidiarinya adalah diwajibkan pada setiap masa.
Mana-mana occupier yang bertanggungjawab ke atas premis yang gagal mematuhi Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Pertolongan Cemas) adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi BND5,000.
SHENA akan terus menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sesuai mengikut peruntukan undang-undang bagi melindungi pekerja, orang awam dan alam sekitar.