Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Rabu, 22 Julai. - Lebih 380 orang peserta turut tidak ketinggalan memancarkan semangat juang mereka menggenggam satu amanah dalam sama-sama menjayakan Persembahan Khas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026, hari ini.
Sehubungan itu, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual salah seorang peserta persembahan khas dalam berkongsi detik-detik kemanisan terlibat dalam mengalunkan karya lagu-lagu indah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga kerabat diraja semasa berlangsungnya kemeriahan majlis di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong, di sini, Dayang Hajah Siti Noor Maya Murnie binti Adi yang antaranya mengungkapkan jiwa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang penyanyi bagi mewarnai Persembahan Khas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Daerah Tutong pada tahun ini.
“Sudah tentu saya berasa teruja dan pada masa yang sama sedikit gementar kerana berpeluang membuat persembahan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja. Namun, saya menganggap peluang ini sebagai satu penghormatan yang amat bermakna dan sentiasa berusaha memberikan persembahan yang terbaik bersama para peserta yang lain,” ujarnya yang berusia 41 tahun.
Tambah insan yang berasal dari Kampung Luagan Dudok, Daerah Tutong ini lagi, penglibatannya dalam persembahan khas sempena majlis yang penuh bersejarah seumpamanya ini merupakan kali ketiga yang pastinya satu detik yang amat disyukuri kerana masih diberi kepercayaan untuk menyumbangkan bakat seni nyanyian yang dimiliki selama ini.
“Memandangkan saya telah meninggalkan bidang nyanyian selama lebih daripada 10 tahun, sudah tentu saya merasakan sedikit tekanan, khususnya dalam menjaga kualiti suara serta menghafalkan lirik lagu. Oleh itu, saya sentiasa melakukan latihan vokal dan senaman ringan, memperbanyakkan minum air suam dan mengamalkan minuman bercampur madu, serta memastikan rehat yang mencukupi. Pada saya, disiplin dan konsistensi dalam menjaga kesihatan diri amat penting bagi memastikan suara sentiasa berada dalam keadaan yang baik,” kongsi beliau lanjut.
Dayang Hajah Siti Noor Maya Murnie turut mengongsikan bahawa antara lagu yang dipersembahkan bersama tiga orang penyanyi yang lain yang terdiri daripada Pengiran Shahminan bin Pengiran Ahmad, Awang Muhammad Nurul Saliheen bin Haji Mamat dan Dayang Nurul Hazimah binti Hamdan ialah Junjung Beradat, Duduk Beradab Madah Bersantun dan Raja Bijaksana Inspirasi Rakyat.
Dalam pada itu, keindahan seni menambang syair yang berjudul ‘Syair Menjunjung Sembah’ turut menjadi salah satu penyeri persembahan khas majlis berkenaan yang dipersembahkan oleh salah seorang peserta berusia 30 tahun, Dayang Nurul Hazimah yang juga sekali gus menanai amanah sebagai salah seorang penyanyi.
Ketika diajukan persoalan mengenai maksud yang terkandung dalam bait-bait syair yang dipersembahkan, beliau menjelaskan bahawa apabila kita menghayati sedalam-dalamnya pastinya terdapat beberapa nilai murni yang terkandung di dalamnya yang merangkumi nilai-nilai penghormatan kepada pemimpin; kesetiaan kepada negara; kebanggaan nasional; doa dan harapan; perpaduan dan keharmonian; dan kewajipan rakyat.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala sejujurnya saya merasa sangat terhormat dan gembira kerana terpilih untuk menjadi salah seorang peserta bagi sama-sama meraikan hari keputeraan raja yang dikasihi oleh seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darusalam.
“Ini adalah peluang yang amat berharga bagi saya untuk mempersembahkan seni menambang syair di hadapan baginda sultan serta kerabat diraja. Sudah setentunya ada rasa berdebar dan teruja bercampur aduk, apa pun insyaaAllah saya berjanji untuk mempersembahkan yang terbaik,” ujarnya yang berasal dari Kampung Kilanas.
Bukanlah suatu yang mudah untuk mengalunkan seni menambang syair, namun Dayang Nurul Hazimah turut berkongsi pandangan peribadi bahawa beliau perlu menitikberatkan beberapa perkara dalam usaha memantapkan seni menambang syair yang dipersembahkan iaitu meliputi aspek kelunakan suara yang mana suara yang lembut dan merdu mampu menarik perhatian pendengar dan seterusnya aspek ketepatan nada atau cengkok yang mana bagi memastikan nada yang betul dan cengkok yang tepat sesuai dengan syair yang dibawakan.
“Begitu juga aspek sebutan yang jelas sangat perlu diambil berat agar pendengar dapat memahami maksud lirik yang hendak disampaikan dengan baik dan aspek yang terakhir ialah penghayatan lirik. Dengan adanya penghayatan yang betul, ia dapat menyampaikan emosi dan maksud lirik dengan penuh perasaan agar boleh terkesan dan menyentuh hati pendengar,” hurainya lanjut.
Turut ditemu bual ialah Awangku Asmady bin Pengiran Sahdon bersama bersama rakan-rakan seperjuangan selaku penari utama persembahan khas majlis berkenaan yang terdiri daripada kumpulan AJ Dancer.
Menyentuh mengenai penglibatan pada tahun ini, Awangku Asmady mewakili kumpulan tersebut menyatakan selain sebagai penari, dirinya turut memainkan peranan dalam membantu memastikan kelancaran latihan bersama rakan-rakan yang lain sekali gus sebagai guru pembimbing seni tarian bagi persembahan penuntut-penuntut sekolah yang terlibat termasuk menyelaraskan pergerakan, formasi dan memberikan sokongan kepada pasukan agar segala persembahan dapat dipersembahkan dengan sebaik mungkin.
“Semestinya inilah tanggungjawab besar yang kami tanai lebih-lebih lagi untuk sama-sama menghidupkan tema Persembahan khas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong pada tahun ini ke hadapan pemimpin negara yang berdaulat lagi terkenal dengan jiwa keprihatinan yang tinggi kepada rakyat dan penduduk tanah air kita,” luahnya penuh kesyukuran.
Awangku Asmady turut mengongsikan secara keseluruhannya seramai 18 orang penari utama terlibat iaitu daripada kumpulan AJ Dancer. Mereka terdiri daripada golongan belia lepasan Universiti Brunei Darussalam (UBD), pekerja kerajaan dan mahasiswa dan mahasiswi UBD dan kolej yang bersama-sama berganding bahu untuk menjayakan persembahan khas ini.
“Ini merupakan kali keenam tahun berturut-turut kumpulan kami diberi kepercayaan untuk membuat persembahan khas di Daerah Tutong. Pastinya saya amat bersyukur, terharu dan berbangga kerana diberi peluang sekali lagi untuk menjadi sebahagian daripada persembahan khas sempena majlis penuh bersejarah yang begitu dinanti-nantikan ini.
“Peluang ini merupakan satu penghormatan yang sangat bermakna buat saya dan juga rakan-rakan seperjuangan yang lain dan kami berharap dapat memberikan persembahan yang terbaik sebagai tanda kasih dan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Bukanlah hanya persembahan semata-mata namun apa yang diharapkan juga agar generasi penerus bangsa kita untuk terus memartabatkan keindahan seni budaya warisan Melayu Brunei meskipun kita meniti arus kemodenan,” luahnya penuh harapan tulus.
Sebelum mengakhiri kata-kata, mereka yang berkesempatan ditemu bual Pelita Brunei turut tidak ketinggalan merafakkan sembah setinggi-tinggi ucapan Selamat Hari Keputeraan Ke-80 kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta seluruh kerabat diraja kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan, keberkatan umur dan sentiasa berada di bawah lindungan serta rahmat-Nya. Semoga Negara Brunei Darussalam terus menikmati keamanan, kemakmuran dan kemajuan di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!