Tanam rasa cinta kepada negara, raja

24 Jul 2026 - 7:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Fairview

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Julai. – Dalam usaha untuk memupuk semangat cinta terhadap raja dan negara dalam kalangan murid-murid, Sekolah Fairview telah mengadakan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 bagi peringkat sekolah yang diadakan baru-baru ini di sekolah berkenaan.

Acara berkenaan diadakan bertujuan untuk menanam rasa cinta akan negara dan raja dalam kalangan murid. Seterusnya, memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan warga sekolah.

Melalui sambutan berkenaan juga memberi peluang kepada murid-murid untuk menyertai aktiviti bercorak kenegaraan sekali gus menghayati jasa dan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Acara dimulakan dengan bacaan Selawat Sayyidul Istighfar dan Doa Peliharakan Sultan, diikuti dengan tayangan video mengenai Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Acara diserikan lagi dengan persembahan bacaan sajak bertajuk 'Daulat Tuanku' dan 'Sultan Disayangi Rakyat' yang disampaikan oleh Awang Muhammad Anas Muazzam bin Haironi; dan Dayang Hasya Balqees binti Abdul Hadi.

Sementara itu, soalan kuiz juga dibukakan kepada murid-murid prasekolah, Tahun 1 hingga Tahun 6. Dengan adanya kuiz berkenaan, ia dapat meningkatkan pengetahuan murid-murid dalam mengenali negara dan raja kita.

Di samping itu, memupuk semangat bersaing secara sihat dan meningkatkan keyakinan diri pelajar untuk tampil ke hadapan.

Acara juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disampaikan oleh Ketua Guru Ugama, Sekolah Fairview, Dayang Norhaslinah binti Mohd. Hassan Chin.

Pameran hasil kerja murid juga turut dipamerkan di ruang legar sekolah. Antara hasil kerja murid ialah buku skrap, kad ucapan, poster dan tulisan cantik yang dihasilkan oleh murid-murid.

Acara diakhiri dengan sesi bergambar ramai yang mengambil tempat di ruang legar Sekolah Fairview.