Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
REPUBLIK FILIPINA, Khamis,
23 Julai. - Duli Yang Teramat
Mulia Paduka Seri Pengiran
Muda 'Abdul Mateen ibni
Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin
Waddaulah, Menteri Hal Ehwal
Luar Negeri, Negara Brunei
Darussalam pada sebelah petang
berkenan berangkat menghadiri
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar
Negeri East Asia Summit (EAS)
Ke-16 yang berlangsung di
Philippine International
Convention Center, Manila,
Republik Filipina.
Pada mesyuarat tersebut, Duli
Yang Teramat Mulia Paduka Seri
Pengiran Muda 'Abdul Mateen
bersabda menekankan bahawa
EAS perlu memperkukuh
keselamatan makanan serantau
melalui sokongan kepada
badan-badan sektoral ASEAN
dalam memupuk pengeluaran
makanan yang mampan,
mempertingkatkan penyelarasan
rantaian bekalan serta
memperkukuh kesiapsiagaan
serantau bagi memastikan
bekalan makanan yang
mencukupi pada setiap masa.
Bagi mengekalkan keamanan,
kestabilan dan kesiapsiagaan
serantau, Duli Yang Teramat
Mulia turut bersabda
menegaskan EAS untuk terus
menegakkan undang-undang
antarabangsa, termasuk Piagam
Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu, serta menggalakkan
langkah-langkah membina
keyakinan bagi mengurangkan
ketegangan serantau.
Duli Yang Teramat Mulia turut
berkenan mengadakan
pertemuan dua hala bersama
Menteri Hal Ehwal Luar Negeri
Republik India, Tuan Yang
Terutama Dr. Subrahmanyam
Jaishankar.
Semasa pertemuan tersebut,
kedua-dua pihak menegaskan
semula komitmen terhadap
Brunei Darussalam-India
Enhanced Partnership serta
bertukar-tukar pandangan
mengenai perkembangan
serantau dan antarabangsa.