Terus memperkukuh kepercayaan orang awam, meningkatkan martabat undang-undang syariah

24 Jul 2026 - 8:50am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN,

Khamis, 23 Julai. - Menteri di

Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti

dan Undang-Undang), Yang

Berhormat Dato Seri Setia Awang

Haji Sufian bin Haji Sabtu

menekankan, Penghargaan Khas

dan Apresiasi Khas Jasa dan Bakti

Mahkamah Syariah adalah satu

penghormatan yang istimewa

bagi mengiktiraf keperibadian,

ketokohan dan jasa-jasa para

penerima dalam perkembangan

Mahkamah-Mahkamah Syariah

sepanjang 25 tahun.

Yang Berhormat menjelaskan,

tempoh 25 tahun bukanlah suatu

tempoh yang singkat.

"Pelbagai pembaikan dan

kemajuan telah dicapai, sama ada

dari segi pembangunan insan,

kemajuan infrastruktur mahupun

peningkatan perkhidmatan kepada

orang ramai," ujar Yang

Berhormat pada Majlis

Kesyukuran dan Apresiasi Warga

Mahkamah-Mahkamah Syariah

bersempena Sambutan Jubli Perak

25 tahun penubuhannya yang

berlangsung di Dewan Banquet,

Jabatan Perdana Menteri (JPM), di

sini.

Menurut Yang Berhormat lagi,

pencapaian berkenaan adalah

hasil daripada sumbangan

pemikiran, tenaga dan bakti

insan-insan yang tidak pernah jemu

berkhidmat.

Sepanjang tempoh berkenaan

jelas Yang Berhormat, Mahkamah

Syariah telah diterajui oleh tiga

tokoh Ketua Hakim Syarie yang

meneruskan objektif, visi dan misi

yang sama, iaitu Allahyarham

Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri

Setia Ustaz Awang Haji Abdul

Hamid bin Bakal; Allahyarham

Pehin Siraja Khatib Dato Paduka

Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji

Yahya bin Haji Ibrahim; dan kini

Yang Amat Arif / Yang Berhormat

Pehin Orang Kaya Paduka Seri

Utama Dato Paduka Seri Setia

Awang Haji Salim bin Haji Besar.

Tambah Yang Berhormat,

semoga sosok tokoh-tokoh

berkenaan terus menjadi

pemangkin semangat kepada

keseluruhan warga Mahkamah

Syariah.

Sepanjang perjalanan 25 tahun

berkenaan kata Yang Berhormat

lagi, terdapat beberapa

pencapaian dan sumbangan

penting Mahkamah-Mahkamah

Syariah yang wajar untuk

diketengahkan.

Ini jelas Yang Berhormat

termasuk pemodenan struktur

kehakiman syariah menerusi

penguatkuasaan Akta

Mahkamah-Mahkamah Syariah,

Penggal 184, yang telah

menggantikan sistem Mahkamah

Kadhi kepada struktur yang lebih

sistematik, iaitu Mahkamah

Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi

Syariah dan Mahkamah Rayuan

Syariah; pemerkasaan rangka

kerja perundangan syariah

menerusi pelaksanaan Perintah

Kanun Hukuman Jenayah Syariah,

yang telah memperluas skop dan

bidang kuasa keadilan syariah di

negara ini secara berperingkat;

pemodenan penyampaian

perkhidmatan menerusi

pengenalan sistem e-Syariah;

penggunaan mekanisme Sulh

(mediasi) sebagai wadah

penyelesaian pertikaian

kekeluargaan secara aman, cepat

dan bertepatan dengan semangat

musyawarah dalam Islam; serta

pembangunan sumber manusia

secara berterusan dalam kalangan

Hakim-hakim Syarie, Pendaftar

dan pegawai-pegawai Mahkamah

Syariah, bagi memastikan

penyampaian keadilan syariah

yang berkualiti dan relevan dengan

keperluan semasa.

Lebih daripada pencapaian

institusi semata-mata, Yang

Berhormat seterusnya

menegaskan bahawa Negara

Brunei Darussalam (NBD) amat

bertuah kerana dikurniakan sistem

perundangan yang unik lagi

istimewa, iaitu wujudnya

Mahkamah Syariah dan

Mahkamah Sivil yang berfungsi

secara harmoni, saling melengkapi

dan saling menghormati bidang

kuasa masing-masing dalam

menegakkan keadilan bagi rakyat

dan penduduk negara ini.

Yang Berhormat seterusnya

menambah, keharmonian dan

keserasian di antara kedua-dua

sistem kehakiman berkenaan

merupakan satu cerminan jelas

kepada ayat 15, Surah Saba, iaitu

'Baldatun Thayyibatun. Warabbun

Ghafur', yang bermaksud sebuah

negara yang aman lagi makmur,

yang mendapat keberkatan dan

keampunan daripada Allah

Subhanahu Wata'ala.

Setentunya jelas Yang

Berhormat lagi, pentadbiran

keadilan yang saksama, teratur

dan berlandaskan kepada nilai-nilai

murni ugama Islam, adalah faktor

penyumbang yang penting kepada

kemakmuran dan keberkatan yang

dikecapi di negara ini.

"Sehubungan itu, peramba /

kaola / saya ingin memetik titah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia

Paduka Seri Baginda Sultan dan

Yang Di-Pertuan Negara Brunei

Darussalam, sempena Mesyuarat

Majlis Ugama Islam pada 15 Mac

2011 yang antara lainnya

mengetengahkan : "... dengan kita

mempunyai dua sistem

perundangan dan dua sistem

kehakiman, syarak dan sivil, adalah

tiada masalah jika ia dikekalkan

berjalan seiring..."

"Setentunya titah ini jelas

menggariskan hasrat murni

Kebawah Duli Yang Maha Mulia

agar kedua-dua sistem kehakiman

ini terus berjalan seiring demi

kesejahteraan rakyat dan

penduduk negara," kata Yang

Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya

mengucapkan setinggi-tinggi

tahniah kepada para penerima

anugerah dan juga kepada

keseluruhan warga

Mahkamah-Mahkamah Syariah

atas kecemerlangan yang

berterusan dalam memainkan

peranan menegakkan

undang-undang secara amnya dan

undang-undang syariah secara

khasnya.

Komitmen daripada seluruh

warga Mahkamah Syariah

terhadap keadilan, integriti dan

Perkhidmatan Awam tambah Yang

Berhormat lagi, telah

memperkukuh kepercayaan orang

awam serta meningkatkan

martabat undang-undang syariah

di dalam negara. Dalam

kesempatan itu, Yang Berhormat

menyeru seluruh warga Mahkamah

Syariah untuk meneruskan

usaha-usaha dalam menambah

baik serta meningkatkan kualiti

perkhidmatan kepada orang ramai,

dan seterusnya mempererat lagi

kerjasama serta penyelarasan

bersama Mahkamah-Mahkamah

Sivil selaras dengan keharmonian

sistem kehakiman negara.

Usaha-usaha seperti berkenaan

kata Yang Berhormat, sekali gus

akan dapat menyumbang kepada

pencapaian salah satu matlamat

utama di bawah Wawasan Brunei

2035, iaitu kualiti kehidupan rakyat

yang tinggi.

Ke arah itu, Yang Berhormat

berpandangan bahawa

Mahkamah-Mahkamah Syariah

dapat memperluaskan skop

perkhidmatan dalam talian

menerusi platform e-Syariah bagi

kemudahan orang ramai,

mengukuhkan lagi keupayaan dan

liputan mekanisme Sulh bagi

mempercepatkan penyelesaian

kes-kes mal dan kekeluargaan

secara aman, menambah bilangan

dan memperkukuh latihan Peguam

Syarie bertauliah bagi memastikan

orang ramai mempunyai akses

guaman yang mencukupi dan

berkualiti, memperkukuh program

kesedaran dan literasi

undang-undang syariah kepada

orang ramai supaya masyarakat

lebih memahami hak dan prosedur

di Mahkamah Syariah, mempererat

lagi kerjasama dan penyelarasan di

antara Mahkamah Syariah dan

Mahkamah-Mahkamah Sivil bagi

memastikan penyampaian

keadilan yang lebih menyeluruh,

konsisten dan bersepadu kepada

rakyat, serta mengadakan lebih

banyak program latihan bersama,

dialog dan pertukaran pengalaman

di antara pegawai-pegawai

Mahkamah Syariah dan

Mahkamah Sivil bagi

mengukuhkan persefahaman,

keserasian serta hubungan kerja

yang erat di antara kedua-dua

sistem kehakiman di negara ini.