Tingkatkan keyakinan peserta membaca Al-Quran secara bertalaqqi

26 Jul 2026 - 6:07am

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

TEMBURONG, Sabtu, 25 Julai. - Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong serta Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong telah menganjurkan Bengkel Tajwid Bersama Al-Quran bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah dan jemaah masjid berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, hari ini.

Penganjuran bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JHEM, KHEU untuk memperkukuh kefahaman dan meningkatkan kemahiran masyarakat dalam membaca Al-Quran mengikut hukum tajwid yang sahih dan tepat.

Fasilitator bengkel, Awang Haji Md. Daud bin Haji Abd. Kadir antara lain menerangkan mengenai pengertian tajwid iaitu dari segi bahasa adalah memperelokkan atau memperindahkan manakala dari segi istilah pula, melafazkan setiap huruf hijaiyah mengikut makhraj dan sifatnya dengan betul serta bacaannya.

Hukum mempelajari ilmu tajwid adalah Fardu Kifayah tetapi membaca Al-Quran dengan bertajwid (mengamalkannya) adalah Fardu Ain bagi setiap mukalaf.

Ilmu tajwid adalah ilmu yang membahas cara membaca Al-Quran dengan betul, mengeluarkan huruf-huruf dari makhrajnya yang sebenar serta menjaga sifat-sifat huruf sesuai dengan yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Faedah mempelajari dan mengamalkan ilmu tajwid antaranya menjaga bacaan Al-Quran daripada kesalahan. Dengan tajwid, kita dapat membezakan huruf yang hampir sama (seperti Sin dengan Sad) serta menghindari kesalahan yang boleh mengubah makna.

Selain menyampaikan bacaan seperti yang diajar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ia juga bagi mendapat pahala yang lebih besar kerana membaca Al-Quran dengan betul adalah ibadah.

Faedahnya juga termasuk menghayati makna ayat Al-Quran dengan lebih baik sesuai dengan kedudukan wakaf, ‘mad’ dan hukum tajwid yang lain serta menjaga kehormatan kalam Allah. Dengan tajwid, kita memuliakan dan menjaga kesucian kitab Allah.

Jelasnya, selain meningkatkan kekhusyukan dalam ibadah dengan bacaan yang betul, indah, dan tertib menjadikan hati lebih tenang, memberi kesan mendalam ketika sembahyang dan tilawah, ia juga menjadi sebab ketenangan jiwa iaitu Al-Quran yang dibaca dengan tajwid yang sempurna memberi ketenangan.

Objektif utama bengkel itu antaranya ialah mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir serta melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran.

Selain itu, bengkel ini turut memberi pendedahan mengenai asas-asas ilmu tajwid, meningkatkan keyakinan peserta membaca Al-Quran secara bertalaqqi, memupuk budaya mencintai dan mendalami ilmu Al-Quran serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.

Bengkel yang bertemakan ‘Bacaan Betul, Hati Tenang’ ini telah disertai oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Muslimah masjid dan orang ramai. Program diisi dengan sesi pengenalan ilmu tajwid, latihan praktikal tajwid, bacaan Al-Quran secara bertajwid serta sesi soal jawab bersama pemudah cara bengkel.

Melalui penganjuran bengkel ini, diharapkan para peserta akan lebih mahir membaca Al-Quran dengan sebutan yang fasih serta mengaplikasikan hukum tajwid dengan betul.

Di samping itu, bengkel ini diharap dapat membudayakan amalan membaca Al-Quran secara berterusan dalam kehidupan seharian, sekali gus mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu, pembinaan ummah dan penyebaran dakwah kepada masyarakat.