Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. - Mini Creator's Market menjadi platform bagi mengetengahkan bakat kreatif serta membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka.
Dianjurkan oleh Altitude Event Management, acara berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai 2026 ini dari jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam, bertempat di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara.
Kira-kira 40 vendor yang majoritinya terdiri daripada usahawan dalam talian menyertai acara berkenaan dengan menawarkan pelbagai produk kreatif, hasil seni kraf tangan dan barangan buatan tempatan.
Acara edisi ketiga yang sebelum ini telah berlangsung pada 17 hingga 19 Julai 2026 di lokasi yang sama adalah sebagai usaha untuk memperluas peluang kepada pengusaha kreatif tempatan mempromosi produk mereka kepada orang ramai.
Inisiatif berkenaan bertujuan untuk menyokong dan memupuk perkembangan bakat tempatan khususnya dalam kalangan generasi muda agar lebih berani menampilkan hasil kreativiti serta menjadikan minat terhadap seni, kraf tangan dan hobi sebagai sumber pendapatan.
Selain membuka ruang pemasaran kepada usahawan kecil, acara berkenaan turut membantu merancakkan ekonomi tempatan melalui peningkatan sokongan terhadap produk buatan Negara Brunei Darussalam sekali gus memberi pendedahan lebih meluas kepada pengusaha tempatan.
Altitude Event Managment juga akan menganjurkan Creative Marketplace 2.0 yang dijadual akan berlangsung pada 25 hingga 27 September 2026 depan bagi meneruskan usaha menyokong bakat kreatif tempatan.