UTB, CARI tandatangani MoU dalam bidang penyelidikan, pendidikan, program latihan

24 Jul 2026 - 8:02am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Universiti Teknologi Brunei

TUNGKU LINK, Khamis, 23 Julai. – UTB School of Business dan China-ASEAN Research Institute of Guangxi University (CARI), Guangxi, Republik Rakyat China, hari ini telah memperkukuh kerjasama akademik mereka melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan perasmian pejabat penyelidikan bersama di UTB.

Majlis yang berlangsung di Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenaan menetapkan rangka kerja kerjasama selama lima tahun dalam bidang penyelidikan, pendidikan, dan program latihan yang menjadi kepentingan bersama, serta menandakan satu pencapaian terbaharu dalam kerjasama yang telah berkembang sejak lima tahun yang lalu.

Majlis berkenaan dipengerusikan oleh Pemangku Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Penolong Naib Canselor UTB (Pelajar, Alumni dan Perkhidmatan), Profesor Madya Dr. Au Thien Wan; dan Timbalan Dekan (Vice-Dean) CARI, Profesor Madya Luo Chuanyu, yang turut mengetuai delegasi dari Guangxi University.

Turut hadir, Penolong-penolong Naib Canselor UTB dan pegawai-pegawai utama UTB.

MOU berkenaan ditandatangani oleh Dekan UTB School of Business, Profesor Madya Dr. Mohammed Saleem Haja Nazmujdeen, bagi pihak UTB; manakala Profesor Madya Luo Chuanyu pula mewakili bagi pihak CARI.

Di bawah MoU berkenaan, kedua-dua institusi akan menjalin kerjasama dalam empat bidang utama, iaitu penubuhan pejabat penyelidikan bersama dan pelantikan ‘visiting researchers’; pertukaran ahli akademik dan pengamal bagi tujuan lawatan sambil belajar, pengajaran, penyelidikan, latihan serta penyeliaan pelajar pascasiswazah; penyelidikan, persidangan, dan seminar secara bersama dan kolaboratif yang membawa kepada penerbitan serta kerja lapangan; dan kerjasama dalam bidang-bidang lain yang akan ditentukan secara bersama secara bertulis.

Perkongsian berkenaan terbina hasil daripada interaksi selama lima tahun antara kedua-dua institusi, yang bermula dengan simposium akademik bersama dan pemeteraian perjanjian terdahulu antara fakulti kejuruteraan awam kedua-dua universiti pada 2021.

Kerjasama berkenaan telah berkembang merangkumi lawatan ilmiah dan inisiatif penyelidikan bersama, yang terkini melibatkan program ‘visiting fellowship’ selama empat minggu oleh seorang ahli akademik UTB di CARI.

Melangkah ke hadapan, kedua-dua pihak berhasrat untuk melaksanakan kerja lapangan bersama dan mengusahakan pembiayaan penyelidikan dalam bidang-bidang baharu yang sedang berkembang, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), logistik pelabuhan, perikanan dan perdagangan antarabangsa.

MOU berkenaan akan berkuat kuasa bagi tempoh awal selama lima tahun, dengan peruntukan untuk pembaharuan, manakala program-program khusus akan dirangka melalui pegawai perhubungan yang dilantik serta disahkan secara bertulis antara kedua-dua institusi.

Kerjasama berkenaan mencerminkan aspirasi UTB untuk melahirkan graduan dan penyelidik yang bergiat aktif di peringkat antarabangsa serta bersedia menyumbang kepada pertukaran ilmu antara Negara Brunei Darussalam dan rantau yang lebih luas.

Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40 UTB, kerjasama berkenaan melambangkan komitmen berterusan pihak universiti dalam menyokong Wawasan Brunei 2035 menerusi pembangunan warga yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran tinggi.