YAOUNDE (Cameroon), 13 Julai. - Kesemua 15 anggota kru diselamatkan awal Ahad selepas kapal kargo dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi kapal berhampiran Douala, bandar pelabuhan utama Cameroon, kata pihak berkuasa, lapor Xinhua.
Menurut Pihak Berkuasa Pelabuhan Douala, perlanggaran itu melibatkan MV Sea Honor dan MV Black Rhino yang sedang memasuki pelabuhan.
Pasukan penyelamat bertindak pantas memindahkan semua anak kapal daripada MV Black Rhino sebelum melancarkan operasi membersihkan laluan perkapalan.
MV Sea Honor telah diiringi ke kawasan berlabuh, manakala MV Black Rhino dibiarkan terdampar bagi memastikan keselamatan laluan pelayaran.
Pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan pada Ahad laluan itu dibuka semula sepenuhnya.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," kata pihak berkuasa pelabuhan dalam satu kenyataan.
"Kedua-dua kapal mengalami kerosakan material yang ketara dan navigasi terganggu buat sementara waktu”.
Penemuan awal menunjukkan kehilangan kawalan stereng di MV Black Rhino sebagai kemungkinan punca perlanggaran. Siasatan teknikal penuh sedang dijalankan. - ©BERNAMA