Australia Selatan lapor kes pertama H5N1 pada burung undan

14 Sep 2026 - 9:42am

CANBERRA, 14 Sept. - Kes pertama influenza avian ‘strain’ H5N1 pada burung undan di Australia dikesan di Australia Selatan (SA), menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor Xinhua.

Jabatan Industri Utama dan Wilayah melaporkan lima kejadian baharu H5N1 yang disahkan, termasuk membabitkan seekor burung undan yang ditemukan di bandar pesisir Edithburgh, kira-kira 80 kilometer (km) di barat Adelaide.

Kes itu merupakan pengesanan pertama H5N1 pada burung undan di Australia dan menjadikan jumlah keseluruhan kejadian yang disahkan di SA kepada 295.

Setakat Jumaat, sebanyak 521 kejadian disahkan di seluruh negara sejak ‘strain’ berbahaya itu kali pertama dikesan di tanah besar Australia pada Jun.

Selain lima kejadian baharu itu, SA turut memaklumkan pada Isnin bahawa sampel daripada seekor singa laut yang ditemukan mati di selatan Adelaide akan diuji bagi mengesan selesema burung.

Pada Ahad, negeri itu melaporkan kes pertama H5N1 yang disahkan pada singa laut yang ditemukan mati di Pulau Kangaroo, kira-kira 100km di barat daya Adelaide.

Menteri Alam Sekitar SA Emily Bourke berkata pada Isnin bahawa pihak berkuasa tidak dapat menjalankan ujian selesema burung terhadap bangkai seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di sebuah pantai di pinggir selatan Adelaide kerana keadaannya telah mereput. - ©BERNAMA