AKARTA, 13 Sept. - Pihak berkuasa Indonesia menjadikan sebahagian Pelabuhan Trisakti di Banjarmasin, Kalimantan Selatan sebagai pusat penyelarasan kecemasan dan penerimaan mangsa susulan insiden Virgo Transport 8 di Laut Jawa, menurut laporan media tempatan.
Ketua Pejabat Syahbandar dan Pihak Berkuasa Pelabuhan (KSOP) Kelas I Banjarmasin Heri Purwanto berkata pos kecemasan itu berfungsi sebagai pusat penyelarasan bagi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), pengendali pelabuhan Pelindo, pihak berkuasa navigasi, ejen kapal serta keluarga mereka yang berada di atas kapal berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Besar Pelindo Banjarmasin Ari Sudarono berkata pengendali pelabuhan itu turut menyediakan bilik pemeriksaan perubatan yang dilengkapi katil lipat bagi menyokong agensi yang terlibat dalam operasi berkenaan.
“Kami membantu agensi berkaitan dengan menyediakan kemudahan pos pencarian yang boleh digunakan bagi menyokong keperluan penyelarasan dan operasi,” katanya seperti dipetik agensi berita nasional Indonesia, Antara.
Basarnas sebelum ini memaklumkan 103 daripada 243 orang yang berada di atas kapal itu berjaya diselamatkan setakat tengah hari Ahad, manakala seorang dilaporkan maut dan usaha mencari mereka yang masih belum ditemukan diteruskan.
Kapal penumpang itu berlepas dari Surabaya di Jawa Timur menuju Banjarmasin pada Sabtu sebelum hubungan dengannya terputus kira-kira 2 pagi Ahad ketika cuaca buruk di Laut Jawa. Basarnas menerima makluman mengenai insiden itu pada 4.10 pagi. Kedudukan terakhir kapal yang diketahui adalah kira-kira 80 batu nautika dari pangkalan SAR di Banjarmasin.
Media tempatan yang memetik seorang pegawai Pelindo melaporkan kapal itu mengalami kebocoran ketika cuaca buruk sebelum terbalik dan kemudian tenggelam, namun Basarnas masih belum mengesahkan keadaan kapal berkenaan.
Kementerian Luar Malaysia memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat yang menunjukkan terdapat rakyat Malaysia terlibat, manakala Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesahkan senarai penumpang dan mendapatkan maklumat lanjut.
Sementara itu, penyelaras ambulans sukarelawan Gapuri berkata kira-kira 30 ambulans diletakkan dalam keadaan siap siaga di Pelabuhan Trisakti atas arahan Basarnas bagi membantu ambulans kerajaan mengendalikan mereka yang diselamatkan dari kapal itu kerana sebahagiannya dilaporkan memerlukan rawatan perubatan.
Beliau berkata ambulans sukarelawan berkenaan dilengkapi bekalan oksigen, pengusung, sarung tangan lateks dan pelitup muka bagi memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum mereka menerima rawatan lanjut di kemudahan kesihatan. - ©BERNAMA