Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 13 September. - Sebagai usaha menyebarluaskan ilmu manasik haji dan umrah di samping mempersiapkan bakal jemaah haji daripada aspek fizikal, rohani dan mental, Jabatan Urusan Haji (JUH), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengendalikan Kursus Asas Haji dan Umrah 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Kursus berkenaan merangkumi enam sesi yang diadakan pada setiap Ahad. Setiap sesi berjalan selama dua jam, dari pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi.
Sesi pertama bermula pagi tadi, dan akan berakhir pada 7 Jamadilawal 1448H bersamaan 18 Oktober 2026M.
Kursus dikendalikan secara serentak di tujuh buah masjid terpilih di keempat-empat daerah. Bagi Daerah Brunei dan Muara, kursus diadakan di empat buah masjid, iaitu Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; dan Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
Manakala di Daerah Belait pula, kursus dikendalikan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; sementara di Daerah Tutong bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong; manakala di Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Sehubungan itu, orang ramai yang berminat mendalami ilmu asas ibadat haji dan umrah serta berhasrat untuk menunaikan umrah, bakal jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan fardu haji bagi musim haji 1448H / 2027M dan bakal jemaah haji yang berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan fardu haji adalah dialu-alukan untuk menghadiri Kursus Asas Haji dan Umrah 1448H/2026M berkenaan.