Muslimah Masjid Bunut semarak Sambutan Maulidur Rasul

14 Sep 2026 - 6:30am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 13 September. - Sebagai usaha menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul dan menyuburkan rasa cinta kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Muslimah Masjid Bunut hari ini menganjurkan Majlis Dikir Maulud buat julung kalinya di Masjid Kampung Bunut.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah  Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.

Majlis disertai kira-kira 90 peserta yang terdiri daripada Kumpulan Muslimah Masjid Kampung Bunut, Muslimah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Muslimah Masjid Kampung Bengkurong, Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, Muslimah Masjid Jubli Perak Kampung Jangsak dan Muslimah Masjid Ar-Rahman Kampung Tanjong Bunut.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat, diikuti bacaan Asmaul Husna oleh Muslimah Masjid Kampung Bunut.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Dikir Assalai oleh Muslimah Masjid Kampung Bunut, diikuti dengan Dikir Badat dibawakan oleh Muslimah Masjid Kampung Bengkurong, manakala Dikir Alhamd dibawakan oleh Muslimah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien serta Tausyeh Selawat Badriyah oleh Muslimah Masjid Jubli Perak Kampung Jangsak.

Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban oleh Muslimah Masjid Kampung Bunut, diikuti dengan Doa Dikir, Doa Peliharakan Sultan dan Doa Selamat.

Penganjuran majlis berkenaan antara lain bertujuan memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, selain menyemai dan menyuburkan rasa cinta kepada Baginda dalam kalangan para Muslimah.

Di samping itu, majlis berkenaan turut menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah Islamiah antara ahli-ahli Muslimah Masjid, di samping menggalakkan penglibatan Muslimah dalam memakmurkan masjid serta memperkukuhkan peranan mereka dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan seterusnya menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.