Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
GADONG, Ahad, 13 September. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Komandan Polis Wanita, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra bersempena Sambutan Hari Puja Usia Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berlangsung pada 12 September 2026.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong dijunjung oleh Penolong Pesuruhjaya Polis, Hajah Masni binti Haji Jamil, selaku Penasihat Majlis serta Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis.
YTM kemudiannya berkenan menandatangani Lembaran Keberangkatan sebelum dijunjung bagi sesi bergambar ramai dan seterusnya berkenan memotong kek.
Majlis Ramah Mesra ini diadakan sebagai tanda menjunjung kasih dan penghargaan atas keprihatinan, sokongan serta dorongan berterusan YTM terhadap warga Polis Wanita PPDB, di samping menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memberi peluang beramah mesra bersama YTM.
Seramai 250 orang menghadiri majlis berkenaan, terdiri daripada jemputan khas, pegawai-pegawai polis wanita, dan anggota-anggota pangkat rendah daripada semua formasi PPDB.