MAKKAH, 14 Julai. - Kumpulan pertama tetamu Program Umrah dan Ziarah Penjaga Dua Masjid Suci tiba di Makkah untuk menunaikan umrah selepas menghabiskan beberapa hari di Madinah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Setibanya di Makkah, mereka menunaikan umrah serta merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Arab Saudi atas layanan dan perkhidmatan yang disediakan, sekali gus memudahkan pelaksanaan ibadah serta ziarah ke Masjid Nabawi.
Sepanjang berada di Makkah, mereka akan mengikuti beberapa program keilmuan dan kebudayaan, selain melawat Kompleks Raja Abdulaziz bagi Kiswah Kaabah serta Pameran Wahyu.
Kumpulan pertama itu terdiri daripada 250 jemaah umrah dari 16 negara dan wilayah Asia iaitu Republik Indonesia, Republik Demokratik Timor-Leste, Republik Filipina, Malaysia, Kemboja, Thailand, Republik Sosialis Viet Nam, Republik Kesatuan Myanmar, Republik Demokratik Rakyat Lao, Republik Singapura, Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Mongolia. - ©BERNAMA