Penduduk Eropah berpeluang lihat gerhana matahari penuh

12 Og 2026 - 9:41am

MADRID, 12 Ogos. - Jutaan penduduk dijangka menumpukan perhatian ke ufuk barat pada petang Rabu ketika gerhana matahari muncul di sebahagian kawasan Eropah, dengan Sepanyol bakal menyaksikan gerhana penuh pertamanya dalam tempoh lebih seabad, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Bulan akan mula melintasi di hadapan matahari sejurus sebelum matahari terbenam, mewujudkan suasana seakan-akan waktu senja atau kegelapan menyeluruh di sebahagian kawasan benua itu.

Di kebanyakan kawasan di Sepanyol, gerhana tersebut akan berlaku secara penuh.

Ramalan menunjukkan keadaan cuaca berawan tidak akan menghalang pemandangan fenomena cakerawala berkenaan.

Pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya memakai cermin mata pelindung yang disahkan apabila melihat matahari, walaupun ketika sebahagiannya terlindung oleh bulan, bagi mengelakkan risiko kerosakan mata kekal.

Di Sepanyol, pihak berkuasa juga berada dalam keadaan berjaga-jaga yang tinggi terhadap risiko kebakaran hutan.

Ratusan ribu orang dijangka berkumpul di kawasan terbuka untuk menyaksikan gerhana tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa kehadiran orang ramai yang sesak boleh meningkatkan risiko kebakaran.

Kawasan luas di Sepanyol telah pun terjejas akibat kebakaran hutan tahun ini. - ©BERNAMA