Siaran Akhbar dan Foto : Al-Muflihun Learning
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Semangat gotong-royong dan memucang-mucang terus diperkasa menerusi aktiviti Kempen Kebersihan Persatuan Sinar Islam (PSI) anjuran Al-Muflihun dengan kerjasama ahli-ahli PSI yang buat julung kalinya diadakan dengan penglibatan mahasiswa daripada Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Hadir pada kempen berkenaan, Yang Dipertua PSI, Awang Abdul ‘Alim bin Abdullah Igol; dan Pengasas Al-Muflihun Learning, Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar, juga selaku penganjur aktiviti.
Kempen berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memastikan persekitaran kawasan berkenaan sentiasa bersih, sihat dan selamat, di samping memupuk budaya tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat mualaf.
Kerja-kerja kebersihan dimulakan di kawasan ruang legar dalam bangunan dan diteruskan di kawasan luar bangunan yang merangkumi tempat letak kereta, bilik stor dan kawasan lapang.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk memotong rumput, mengutip sampah serta memotong ranting dan dahan pokok yang menjalar dan menghalang laluan di bahu simpang jalan.
Penglibatan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa UNISSA melalui aktiviti berkenaan jelas mencerminkan semangat ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, selain memberikan peluang kepada mereka untuk berinteraksi bersama dengan golongan masyarakat mualaf.
Antara objektif aktiviti kempen berkenaan diadakan adalah sebagai satu inisiatif Al-Muflihun Learning membuat pendekatan bersama dengan ahli-ahli PSI dalam memeduli akan keperluan masyarakat mualaf dan potensi jaringan kolaborasi bagi program-program pada masa akan datang.
Kempen yang dijalankan bukan saja memberikan manfaat kepada peserta, akan tetapi ia menjadi satu wadah untuk menyemai kesedaran bahawa kelestarian kawasan tempat merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan aktif seluruh masyarakat.
Turut hadir selaku ketua rombongan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Abdul Karim.