Perlindungan kanak-kanak Palestin tanggungjawab kemanusiaan sejagat

15 Jul 2026 - 12:46pm

KUALA LUMPUR, 14 Julai. - Perlindungan kanak-kanak Palestin bukan sekadar tanggungjawab rakyat Palestin, sebaliknya merupakan tanggungjawab kemanusiaan sejagat yang memerlukan tindakan bersama termasuk institusi antarabangsa, masyarakat dan media, kata seorang pakar.

Penyelidik Palestin dalam bidang media, isu kanak-kanak dan undang-undang antarabangsa, Dr. Walaa Battat berkata kanak-kanak Palestin masih memerlukan pelbagai bentuk bantuan termasuk sokongan psikologi, perubatan, pendidikan dan perundangan, selain perlindungan antarabangsa bagi menjamin hak mereka.

"Pencerobohan rejim Israel telah memusnahkan sebahagian besar infrastruktur pendidikan dan kesihatan di Gaza, selain menyebabkan ratusan ribu kanak-kanak kehilangan hak untuk mendapatkan pendidikan serta puluhan ribu kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya," katanya kepada Bernama dalam temu bual dalam bahasa Arab pada Isnin.

Menyentuh peranan media, beliau menekankan keperluan memperbaharui pendekatan liputan supaya tidak hanya memfokuskan angka dan statistik, sebaliknya mengetengahkan kisah-kisah kemanusiaan yang menggambarkan kehidupan serta penderitaan mangsa bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia.

Walaa berpendapat terdapat segelintir media antarabangsa yang menggambarkan mangsa Palestin sekadar sebagai angka atau menghasilkan liputan yang dipengaruhi pertimbangan politik, sekali gus memerlukan penilaian semula terhadap keutamaan dalam laporan berita agar selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Beliau, yang juga Presiden Pusat Penyelidikan dan Kajian Strategik Arab Antarabangsa, memuji media digital Palestin yang telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif Palestin kepada dunia di sebalik cabaran yang dihadapi ketika menjalankan tugas.

Selain bergadai nyawa, Walaa berkata kerosakan peralatan dan kemusnahan bangunan organisasi media akibat serangan rejim Zionis juga telah menyukarkan liputan wartawan di lapangan.

Berada di Malaysia atas jemputan menyampaikan kuliah di beberapa universiti tempatan, Walaa berkata keadaan di Palestin mendorong beliau mencari pelbagai mekanisme bagi melindungi kanak-kanak melalui pelbagai pendekatan, termasuk penyelidikan saintifik, aktiviti kemasyarakatan dan kerja institusi, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Antaranya ialah kempen "Their Names Are Not Numbers" yang dilancarkan pada Mei dengan penyertaan ahli akademik, pengamal media, ahli parlimen, diplomat dan aktivis hak asasi manusia dari pelbagai negara.

Kempen itu, yang akan diadakan setiap tahun, bertujuan mendokumentasikan nama dan impian kanak-kanak Palestin yang terkorban dalam peperangan, di samping mengetengahkan kisah mereka kepada masyarakat dunia.

Menurut beliau, inisiatif Pusat Penyelidikan dan Kajian Strategik Arab Antarabangsa itu merupakan sebahagian daripada beberapa projek lain yang sedang diusahakan, termasuk pembinaan arkib Palestin bagi mendokumentasikan nama kanak-kanak serta penerbitan sebuah buku yang merekodkan pelbagai pelanggaran hak terhadap mereka.

"Saya berharap usaha dokumentasi, liputan media dan tekanan masyarakat antarabangsa akan membawa kepada pelaksanaan undang-undang serta perlindungan yang lebih baik terhadap kanak-kanak Palestin pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Walaa memuji dan merakamkan penghargaan terhadap pendirian kerajaan dan rakyat Malaysia yang konsisten menyokong perjuangan Palestin serta berharap solidariti itu akan terus diperkukuh agar isu itu kekal mendapat perhatian masyarakat dunia.

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran, rakyat Palestin akan tetap teguh mempertahankan tanah air dan hak kami melalui saluran undang-undang," katanya. - ©BERNAMA