MADINAH, 13 Julai. - Jawatankuasa Syariah Program Haji, Umrah dan Ziarah Penjaga Dua Masjid Suci bagi musim 1448 Hijrah terus menyediakan pelbagai khidmat penerangan dan bimbingan kepada tetamu program berkenaan. Program itu dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan pemahaman tetamu mengenai hukum syarak berkaitan ibadah umrah dan ziarah, sekali gus membantu mereka melaksanakan ibadah mengikut ajaran Islam.
Antara khidmat yang disediakan ialah menjawab pertanyaan berkaitan hukum syarak, memberikan penerangan mengenai lokasi yang dibenarkan untuk diziarahi di Madinah serta menjelaskan tatacara dan hukum berkaitan ibadah umrah.
Jawatankuasa itu turut mengadakan sesi bimbingan dan ceramah mengenai umrah dan ziarah. Perkhidmatan berkenaan dikendalikan oleh pendakwah dan penterjemah terpilih bagi memastikan maklumat serta panduan dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan dalam bahasa tetamu masing-masing.
Khidmat penerangan dan bimbingan itu merupakan sebahagian daripada program pendidikan dan kebudayaan yang disediakan kementerian kepada tetamu Program Haji, Umrah dan Ziarah Penjaga Dua Masjid Suci. Program berkenaan turut bertujuan memperkaya pengalaman kerohanian dan pengetahuan tetamu sepanjang berada di Arab Saudi. - ©BERNAMA