Rundingan Republik Islam Iran, negara Teluk mengenai Selat Hormuz ditangguhkan

14 Sep 2026 - 9:43am

TEHRAN, 14 Sept. - Rundingan antara Republik Islam Iran dengan beberapa negara Teluk mengenai Selat Hormuz yang menjadi pertikaian telah ditangguhkan, menurut Oman pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Menteri Luar Oman Badr al-Busaidi berkata mesyuarat yang dijadualkan pada Isnin itu ditangguhkan "demi mencapai kesepakatan”.

"Kami kekal komited untuk menggalakkan dialog yang menyokong kestabilan dan kerjasama berkekalan di rantau ini," tulisnya menerusi hantaran di X.

Beliau tidak mengumumkan tarikh baharu atau memberikan penjelasan lanjut mengenai sebab penangguhan itu.

Menteri luar Republik Islam Iran, Iraq, Oman, Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi telah diundang menghadiri rundingan berkenaan.

Al-Busaidi dan Menteri Luar Republik Islam Iran Abbas Araghchi sebelum ini dijangka memberi taklimat kepada wakil kerajaan mengenai perkembangan terkini rundingan itu.

Tehran dan Muscat telah berunding selama beberapa minggu mengenai satu mekanisme untuk mengawal selia lalu lintas perkapalan melalui selat itu, yang merupakan laluan air penting bagi perdagangan minyak, gas dan baja global.

Bagi kepimpinan Republik Islam Iran, Selat Hormuz kini menjadi alat tekanan yang penting dalam konfliknya dengan Amerika Syarikat (AS).

Sebelum konflik itu, selat berkenaan terbuka kepada perkapalan. Tentera Laut AS pula mengenakan sekatan laut ke atas pelabuhan Republik Islam Iran.

Republik Islam Iran menuntut konsesi daripada kerajaan AS selaras dengan perkara yang dipersetujui dalam perjanjian rangka kerja pada Jun.

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump berusaha memberi tekanan terhadap Republik Islam Iran menerusi "perang ekonomi”.

Insiden berbalas serangan antara AS dan Republik Islam Iran terus berlaku di Selat Hormuz. - ©BERNAMA