NAGOYA, 25 Sept. - Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya pada Jumaat memaklumkan jualan tiket bagi lapan jenis sukan termasuk besbol, bola sepak dan hoki, serta upacara penutup, masih di bawah 60 peratus, lapor Kyodo News.
Walaupun penganjur mengeluarkan data jualan tiket setakat Khamis, jumlah tempat duduk yang disediakan di setiap ‘venue’ tidak didedahkan.
Sebaliknya, lebih 90 peratus tiket bagi 13 jenis sukan termasuk badminton dan lawan pedang telah terjual, manakala lebih 80 peratus tiket bagi tujuh jenis sukan termasuk bola keranjang, gimnastik artistik dan bola tampar turut terjual, menurut penganjur.
Beberapa acara pada temasya yang sedang berlangsung itu menyaksikan tempat duduk kosong meskipun ada antaranya disenaraikan sebagai 'habis dijual' bagi jualan kepada orang ramai.
Keadaan itu dipercayai berpunca terutamanya daripada tiket jemputan dan tiket yang dijual kepada syarikat tidak digunakan.
Upacara pembukaan yang berlangsung Sabtu lepas di Stadium Olahraga Taman Mizuho, Bandar Nagoya menyaksikan banyak tempat duduk kosong, dengan keadaan sama turut dilihat pada Khamis ketika acara olahraga bermula di venue berkenaan. - ©BERNAMA