Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Azmah Haji Ahad
JERUDONG, Sabtu, 26 September. – Seramai 87 warga Brunei Shell Joint Venture (BSJV) diraikan atas dedikasi dan sumbangan mereka kepada syarikat dan industri tenaga negara pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Lama BSJV, hari ini.
Para penerima berkenaan telah mencapai tempoh perkhidmatan selama 25, 30, 35 dan 40 tahun pada tahun 2025, sekali gus mencerminkan komitmen, profesionalisme dan kepakaran yang dicurahkan sepanjang perjalanan kerjaya mereka.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah para pegawai kanan kerajaan serta pihak pengurusan syarikat-syarikat BSJV.
Pengarah Urusan Brunei Shell Petroleum Sdn. Bhd. (BSP), Johan Atema dalam ucapannya bagi pihak para Pengarah Urusan BSJV, menekankan sumbangan tidak ternilai para pekerja yang telah lama berkhidmat.
Menurut beliau, pengalaman, dedikasi dan kepimpinan para pekerja berkenaan telah membantu membentuk kejayaan syarikat-syarikat BSJV serta terus menyokong pertumbuhan masa depan Negara Brunei Darussalam.
Majlis tersebut turut mencatatkan detik bersejarah bagi Brunei Shell Marketing Company Sdn. Bhd. (BSM) apabila Dayang Masnah Taib menjadi penerima pertama anugerah perkhidmatan 40 tahun bagi syarikat berkenaan.
Mewakili para penerima, Dayang Masnah Taib turut menyampaikan penghargaan atas peluang, pengalaman dan hubungan yang diperoleh sepanjang perjalanan kerjayanya.
Penyampaian anugerah tersebut bukan sahaja menjadi tanda penghargaan terhadap tempoh perkhidmatan, malah melambangkan pengetahuan, pengalaman, keprihatinan dan komitmen yang telah dibina sepanjang puluhan tahun.
Sumbangan para penerima turut memainkan peranan dalam menyokong operasi dan kejayaan syarikat-syarikat BSJV, di samping memperkukuh industri tenaga Negara Brunei Darussalam.
Majlis berkenaan juga meraikan nilai, pengetahuan dan pengalaman yang dikumpulkan sepanjang tempoh perkhidmatan, yang terus menjadi asas penting kepada kejayaan dan kemajuan berterusan syarikat-syarikat BSJV.
Dalam melangkah ke hadapan, BSJV kekal memberikan penekanan terhadap kekuatan sumber manusianya.
Dedikasi, kepakaran dan komitmen para pekerja terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan dan kemajuan mampan Negara Brunei Darussalam.