Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
TUTONG, Sabtu, 26 September. - Jabatan Penjara melalui Bahagian Pemulihan dan Reintegrasi Penjara hari ini melakar satu lagi langkah penting dalam memperkukuh usaha pemulihan penghuni menerusi pelancaran Projek Penanaman Padi Hibrid di Penjara Maraburong.
Inisiatif berkenaan menyediakan platform pembangunan kemahiran dan pengalaman praktikal kepada penghuni, di samping menyokong aspirasi Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta pembangunan modal insan yang berdaya tahan dan produktif.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Guru Ugama Institusi Penjara Maraburong Fasa III, Awang Muhd. Yusri bin Othman.
Majlis diteruskan dengan persembahan Selawat Tafrijiyyah dan Selawat Jibril oleh Kumpulan Al-Muslihun yang terdiri daripada penghuni penjara, sebelum diikuti dengan acara penanaman padi hibrid oleh tetamu kehormat sebagai simbolik pelancaran projek berkenaan.
Projek Penanaman Padi Hibrid merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara Jabatan Penjara dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang memberikan tumpuan kepada pembangunan kemahiran, pembentukan sahsiah dan jati diri, serta persediaan penghuni untuk kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif dan berdikari.
Seramai 14 orang penghuni, terdiri daripada tujuh penghuni Fasa 1 dan tujuh penghuni Fasa 3, terlibat dalam aktiviti penanaman padi hibrid berkenaan.
Melalui program tersebut, para penghuni diberikan latihan praktikal dalam bidang pertanian, termasuk pengurusan tanaman, penggunaan sumber secara berkesan, disiplin kerja serta amalan pertanian yang betul.
Kemahiran yang diperoleh bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna sepanjang proses pemulihan, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan dan membuka peluang pekerjaan selepas tamat tempoh hukuman.
Pendekatan tersebut mencerminkan komitmen Jabatan Penjara dalam melaksanakan program pemulihan yang berorientasikan hasil, dengan memberikan penekanan kepada pembangunan kebolehpasaran, peningkatan keyakinan diri serta pengurangan risiko mengulangi kesalahan melalui pemerkasaan individu dan pemberian peluang kedua.
Sebagai langkah awal bagi memastikan kejayaan projek, Jabatan Penjara bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan melalui Unit Sains Tanah dan Nutrien bagi melaksanakan analisis tanah di kawasan projek.
Berdasarkan keputusan analisis yang diterima pada April 2026, tapak projek seluas kira-kira 1.5 ekar didapati sesuai dan berpotensi untuk penanaman padi hibrid.
Penilaian tersebut menjadi asas penting dalam memastikan projek dilaksanakan secara terancang dan mampan, selain berpotensi menghasilkan produktiviti yang baik.
Bagi fasa pertama, baka padi hibrid Yuan 158 dipilih berdasarkan keupayaannya menghasilkan hasil tuaian yang tinggi. Dengan pengurusan air, pembajaan dan penjagaan secara sistematik, padi berkenaan dijangka mencapai tempoh matang dalam lingkungan 105 hingga 110 hari sebelum dituai.
Selain menjadi platform latihan dan pembangunan kemahiran, projek tersebut turut menyokong usaha negara dalam memperkukuh pengeluaran makanan tempatan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sektor pertanian dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan negara.
Pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan keyakinan bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk berubah dan membina kehidupan yang lebih baik apabila diberikan peluang yang sewajarnya.
Melalui gabungan pendidikan, pembangunan kemahiran, pengalaman praktikal dan sokongan komuniti, Jabatan Penjara dan BIBD terus komited membantu membuka lembaran baharu kepada para penghuni dalam perjalanan mereka ke arah pemulihan dan reintegrasi yang berjaya.
Sebagai projek perintis yang menghubungkan aspek pemulihan, pembangunan modal insan dan keterjaminan makanan negara, Projek Penanaman Padi Hibrid di Penjara Maraburong diharap menjadi asas kepada usaha yang lebih meluas pada masa hadapan, sekali gus membuka peluang lebih besar kepada para penghuni untuk membina kehidupan yang berdikari serta menyumbang secara positif kepada keluarga, masyarakat dan NBD.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB); Pemangku Setiausaha MUIB; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN); Pemangku Pengarah Penjara; Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Badan Penasihat Syariah BIBD; ketua-ketua jabatan di bawah KHEDN; pegawai-pegawai kanan BIBD serta pegawai dan kakitangan KHEDN.