Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Hernie Suliana
TUTONG, Sabtu, 26 September. - Dalam usaha memperkukuhkan pendekatan dakwah yang lebih dekat dengan masyarakat, Pusat Da'wah Islamiah (PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Cawangan Da'wah Daerah Tutong, dengan kerjasama Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjong Maya dan Lubok Pulau, Daerah Tutong telah mengadakan Program 'Sungdai Ga PESATU' - PESATU Komuniti Fest 2026 yang bermaksud 'Lakastah ke PESATU'.
Program yang diadakan di Dewan Serbaguna PESATU, Kampung Tanjong Panjang, Mukim Tanjong Maya, di sini, merupakan sebuah festival komuniti berteraskan dakwah yang menggabungkan elemen dakwah, keusahawanan, kebudayaan dan kekeluargaan dalam suasana yang santai, inklusif dan mesra masyarakat.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad dan Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.
Hadir sama, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri; Pemangku Pengarah PDI, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman; Pemangku Penolong Pengarah PDI; Penghulu Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong; Ketua-ketua Kampung Daerah Tutong; Ahli-ahli Persatuan Mualaf serta para pegawai dan kakitangan PDI dan Cawangan Da'wah Daerah Tutong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Tenaga Pengajar Kelas Bimbingan Muallaf PESATU, Awang Muhammad Didi Sufian bin Haji Masri.
Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PESATU, Awang Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat selaku Pengerusi Bersama Majlis, diikuti dengan persembahan nasyid daripada ahli persatuan PESATU.
Acara kemuncak program ialah perasmian Sungdai Ga PESATU yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan lawatan ke zon-zon pameran dan reruai, antaranya Zon Sejarah PESATU, Zon Keusahawanan yang menampilkan Muallafpreneurs dan Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P), Zon Da'wah, Zon Komuniti dan Zon Selera (Food Festival).
Penganjuran Program Sungdai Ga PESATU ini bertujuan untuk memperkenalkan PESATU kepada masyarakat sebagai sebuah pusat komuniti yang aktif dalam melaksanakan aktiviti dakwah, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Selain itu, program berkenaan turut dihasratkan untuk menjadi salah satu platform yang berkesan dalam memperkukuhkan ukhuwah, menyebarluaskan dakwah secara berhikmah, memperkasa komuniti serta memberikan manfaat yang berterusan kepada masyarakat selaras dengan slogan 'Dari Komuniti, Untuk Komuniti'.