VIENNA, 2 Sept. - Pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengamankan sejumlah besar simpanan uranium di Syria yang disembunyikan sejak zaman pemerintahan bekas presiden Bashar al-Assad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Satu laporan sulit oleh ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi yang dikeluarkan di Vienna pada Selasa menyatakan jumlah stok tersebut ialah 73 tan metrik, termasuk kira-kira 55 tan rod bahan api bagi projek reaktor rahsia.
Laporan berkenaan mengandungi inventori terperinci pertama mengenai bahan nuklear tersebut susulan pengumuman Grossi dan Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani di Damsyik dua minggu lepas mengenai kewujudan stok uranium berkenaan.
Menurut laporan itu, bahan tersebut telah disahkan dan diamankan oleh pakar IAEA sejak beberapa hari lepas dan kini berada di bawah pemantauan agensi berkenaan.
Grossi sebelum ini telah memberi amaran di Damsyik bahawa uranium tersebut boleh disalah guna.
Israel menyerang dan memusnahkan tapak yang disyaki tempat pembinaan reaktor nuklear di Syria pada 2007 bagi menghalang negara itu menggunakannya untuk menghasilkan senjata nuklear.
IAEA telah pun membuat kesimpulan dalam laporan siasatan 2011 bahawa ia merupakan reaktor rahsia yang mempunyai persamaan dengan reaktor di Korea Utara, sebuah negara yang memiliki senjata nuklear.
Akibat tentangan daripada kerajaan al-Assad serta konflik perang saudara, IAEA tidak dapat menyiasat aktiviti rahsia tersebut secara terus di lokasi kejadian.
Menurut laporan baharu Grossi, kerajaan Syria terdahulu telah menyembunyikan reaktor itu yang merupakan sebuah kemudahan pembuatan bahan api nuklear dan tapak penyimpanan bahan nuklear daripada pengetahuan IAEA.
Susulan kejatuhan rejim al-Assad pada penghujung 2024, siasatan meraih momentum baharu. Grossi menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Syria semasa atas ketelusan dan kerjasama yang diberikan. - ©BERNAMA