Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
GADONG, Rabu, 2 September. – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Biasiswa mengadakan Majlis Penganugerahan Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi pelajar-pelajar di bawah Skim The Chancellor's Scholar Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Skim Biasiswa Kerajaan ke Luar Negeri bagi melanjutkan pengajian di institusi-institusi luar negara serta Skim Biasiswa Khas Dalam Negeri untuk mengikuti pengajian ke peringkat menengah dan prauniversiti di Jerudong International School (JIS) dan International School Brunei (ISB) bagi Sesi Akademik 2026/2027.
Majlis tersebut berlangsung di Goldstone Ballroom, The Centrepoint Hotel, Gadong, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil penganugerahan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Dermasiswa dan Kesejahteraan, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Awang Haji Raminey bin Haji Salleh dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim, selaku Pengerusi Majlis.
Seramai tiga orang pelajar telah berjaya menerima Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di bawah Skim The Chancellor's Scholar UBD bagi mengikuti Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana serta 36 orang pelajar di bawah Skim Biasiswa ke Luar Negeri di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Manakala seramai 18 orang pelajar di peringkat menengah dan 20 orang pelajar di peringkat prauniversiti juga telah dianugerahkan Biasiswa Kerajaan Kebawah DYMM di bawah Skim Biasiswa Khas Dalam Negeri ke Sekolah-sekolah Antarabangsa.
Juga hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal serta Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dari Kementerian Pendidikan.
Turut hadir, Naib Canselor UBD, Naib Canselor UTB, Rektor UNISSA, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, wakil pegawai-pegawai daripada beberapa agensi kerajaan serta para ibu bapa pelajar dan wakil dari sekolah-sekolah antarabangsa.