Memastikan mutu pengajian, khidmat ITQSHHB terus diperkukuhkan

3 Sep 2026 - 7:26am

Oleh : Saerah Haji Abdul GhaniFoto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Rabu, 2 September. - Penubuhan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) merupakan suatu rahmat dan nikmat yang besar, lahir daripada hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memartabatkan pengajian Al-Quran di negara ini.

Amanah tersebut akan sentiasa dipelihara dengan memastikan mutu pengajian, pengurusan dan khidmat Institut terus diperkukuhkan.

Perkara demikian disembahkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan pada Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB Ke-14, Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, pagi tadi.

Sembah Yang Berhormat, para graduan yang diraikan telah memperoleh peluang yang amat berharga untuk mengikuti pengajian di ITQSHHB, sebuah institusi tahfiz kerajaan yang khusus mendidik generasi penghafaz Al-Quran di negara ini.

“Peluang tersebut hendaklah disyukuri dengan memelihara hafazan, mengamalkan ajaran Al-Quran dan memanfaatkan ilmu bagi kebaikan masyarakat. Sesungguhnya, hafazan Al-Quran ialah anugerah yang besar, sekali gus amanah yang menuntut kesungguhan dan istiqamah sepanjang hayat,” sembah Yang Berhormat.

Terdahulu, bagi pihak Ahli-ahli Lembaga dan seluruh warga ITQSHHB, Yang Berhormat sukacita menyembahkan sembah menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah berangkat ke Majlis Haflut Takharruj Ke-14, seterusnya berkenan mengurniakan sabda dan menyempurnakan penganugerahan Sijil Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat yang diiktiraf setaraf dengan Diploma Tertinggi Kebangsaan (Higher National Diploma).

Sesungguhnya sembah Yang Berhormat, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah amat besar maknanya dan menyemarakkan lagi Majlis Haflut Takharruj ini dan keberangkatan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota terhadap kemajuan pendidikan dan perkembangan Institut, bahkan menjadi sumber dorongan kepada para graduan untuk terus berbakti kepada ugama, raja dan negara.

“Abis hamba Duli Tuanku sekalian dengan penuh kesyukuran berdoa semoga Allah Subhanahu Wata‘ala sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada Duli Tuanku serta kerabat Duli Tuanku, di samping mengurniakan nikmat sihat walafiat dan kebahagiaan yang berkekalan,” sembah Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan, Alhamdulillah, sejak kumpulan pertama Program Diploma ‘Aliyah Qiraat dianugerahkan sijil pada tahun 2013, institut telah melahirkan seramai 306 orang graduan, termasuk 38 orang yang diraikan pada tahun ini. Daripada jumlah tersebut sembah Yang Berhormat lagi, 28 orang memperoleh pangkat Mumtaz dan 10 orang memperoleh pangkat Jayyid Jiddan.

Yang Berhormat menyembahkan, para graduan pada tahun ini merupakan kumpulan pertama Program Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat bagi Sesi Pengajian 2023–2026 di mana penaiktarafan program ini turut memperluas kandungan pengajian, antaranya melalui pengenalan ilmu Dhabt Al-Quran, iaitu ilmu berkaitan tanda, simbol dan baris dalam penulisan mushaf yang membantu memelihara ketepatan bacaan Al-Quran.

“Modul-modul pengajian turut diperkukuh dan dikemas kini dari segi kandungan bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan kekal relevan dan komprehensif. Pemantapan ini meliputi Modul Teras, antaranya Rasm Al-Quran dan Tarannum Bil-Quran, serta Modul Wajib seperti Bahasa Arab, Al-Fiqh Al-Islami wa Usuluh dan Tafsir Al-Quran,” sembah Yang Berhormat.

Di samping itu, sembah Yang Berhormat lagi, elemen ko-kurikulum turut diperkenalkan sebagai salah satu Modul Elektif bagi memperluas pengalaman pembelajaran pelajar serta menyokong pembangunan kemahiran, sahsiah dan potensi mereka secara lebih menyeluruh.

Dengan pengukuhan kurikulum tersebut, sembah Yang Berhormat, para graduan dibekalkan dengan pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu Al-Quran sebagai teras serta kemahiran lain yang bermanfaat.

Bersempena dengan graduasi kumpulan pertama ini, sembah Yang Berhormat, pihak institut turut mengadakan pameran yang memaparkan perkembangan dan pencapaian Alumni Diploma ‘Aliyah Qiraat.

Dalam sembah Yang Berhormat lagi, mengongsikan, pameran tersebut mengetengahkan sumbangan, laluan kerjaya dan bidang khidmat alumni, sekali gus memberi gambaran kepada para graduan dan pengunjung tentang luasnya ruang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Turut disembahkan bahawa sumbangan alumni Institut tidak terhenti pada kejayaan akademik di mana sejak tahun 2013 Haflut Takharruj dilaksanakan, para graduan lepasan Institut Tahfiz terus mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan ilmu, dakwah dan khidmat masyarakat, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Pada tahun ini, pada bulan Jun 2026 sembah Yang Berhormat, alumni turut terlibat secara langsung dalam menjayakan Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam (NBD) Kali Kedua sempena Brunei Mid-Year Conference and Exhibition (MYCE) sebagai pembentang kertas kerja dan peserta.

“Mereka turut menyumbangkan pandangan, pengalaman serta buah fikiran dalam sesi perbincangan yang membantu perumusan resolusi simposium berkenaan. Penglibatan ini mencerminkan keupayaan alumni untuk terus menyumbang secara ilmiah dan profesional kepada perkembangan serta pemerkasaan pendidikan tahfiz Al-Quran di NBD,” sembah Yang Berhormat.

Selain itu, sembah Yang Berhormat lagi, alumni turut menyertai Program Belia Da‘ie dan pelbagai kegiatan dakwah anjuran Pusat Da‘wah Islamiah serta agensi-agensi berkaitan bagi membangunkan kemahiran penyampaian dakwah dan komunikasi berkesan serta keupayaan menghasilkan kandungan digital yang kreatif, beretika dan berimpak untuk disampaikan melalui platform digital dan media sosial sebagai medium dakwah kontemporari yang relevan dengan perkembangan semasa.

Pada bulan Ramadan yang lalu sembah Yang Berhormat, atas jemputan, seorang orang alumni telah dihantar ke Jepun untuk berkhidmat sebagai imam Solat Tarawih sepanjang bulan Ramadan di samping menyampaikan tazkirah dan khutbah Jumaat di mana penugasan tersebut merupakan sumbangan NBD dalam turut memenuhi keperluan keagamaan masyarakat Islam di Jepun.

Manakala di NBD, Yang Berhormat menyembahkan, Alhamdulillah, setiap Ramadan, sebahagian pelajar dan alumni institut berkhidmat sebagai imam solat tarawih di masjid-masjid dan berharap sumbangan ini menjadi amal jariah, bumi Darussalam disirami keberkatan dan mereka dikurniakan syafaat Al-Quran.

Dari segi kerjaya, alumni Institut kini berkhidmat dalam sektor kerajaan dan swasta sembah Yang Berhormat, di mana sebahagian lepasan Diploma ‘Aliyah Qiraat kembali mencurahkan bakti sebagai tenaga pengajar, sama ada di peringkat menengah mahupun diploma di Institut ini.

“Sebahagian yang lain berkhidmat sebagai imam, anggota beruniform, pegawai dalam bidang kewangan dan dalam pelbagai jawatan lain. Kepelbagaian laluan kerjaya ini menggambarkan bahawa latar belakang pengajian tahfiz tidak membataskan ruang sumbangan para graduan, bahkan menjadi nilai tambah dalam perkhidmatan mereka,” sembah Yang Berhormat.

Di samping sumbangan para alumni, institut turut memperluas khidmatnya kepada masyarakat sembah Yang Berhormat di mana pada masa ini, Kelas Pengajian Braille disertai oleh tujuh orang peserta.

Dalam sembah Yang Berhormat mengongsikan, pengajiannya merangkumi hafazan Al-Quran, di samping kategori pembelajaran asas-asas ugama seperti fiqh dan tauhid serta latihan asas menaip Braille di mana institut juga mengendalikan Pengajian Menghafaz Al-Quran bagi orang awam pada setiap Jumaat yang mana pada masa ini pelajarnya berjumlah seramai 183 orang pelajar.

Sembah Yang Berhormat, kedua-dua inisiatif ini memperluas akses kepada pengajian Al-Quran secara inklusif, di samping menjadi sumbangan Institut kepada masyarakat melalui penyediaan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Dalam sembah Yang Berhormat turut mendoakan semoga ITQSHHB akan terus berkembang maju dan memperkukuh sumbangannya kepada masyarakat dan negara.