Jaga akidah, patuhi ajaran Rasulullah

3 Sep 2026 - 7:22am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 2 September. – Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di dalamnya mengadakan Majlis Ceramah Khas sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah pagi tadi, bertempat di Dewan Teater, Kementerian Kewangan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Setiausaha Tetap; Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei; ketua-ketua jabatan dan bahagian; serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di dalamnya, termasuk pegawai dan kakitangan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan penyampaian Ceramah Khas bertajuk ‘Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah’ yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Penolong Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Da’wah Islamiah, Awang Haji Muskrisman bin Haji Mustapa.

Dalam ceramah tersebut, antara lain ditekankan bahawa kepentingan menjaga akidah bagi umat Islam merupakan perkara utama dengan sentiasa mengikuti dan mematuhi ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan merujuk kepada Surah Al-Maidah, ayat 19, beliau turut menjelaskan mengenai penurunan ayat tersebut yang antara lain berkaitan dengan golongan Yahudi yang mengetepikan kedatangan Nabi akhir zaman yang akan menyampaikan berita dan nasihat serta membawa manusia kepada akidah yang benar.

Perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menegakkan agama Islam, khususnya dalam memperkukuhkan akidah dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Esa, telah melalui pelbagai halangan dan rintangan. Namun, berbekalkan iman, takwa dan keyakinan yang kukuh, perjuangan Baginda akhirnya membuahkan hasil sehingga agama Islam terus berkembang dan menjadi pegangan umat Islam hingga ke hari ini.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan, diikuti dengan Persembahan Dikir.

Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Kewangan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di samping mengenang jasa dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menegakkan syiar Islam serta menyuntik rasa kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Kewangan telah diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat (BPSMHEK), Kementerian Kewangan dan Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (HMSF).