12 murid, 3 guru sertai Program Sekolah Berkembar di Singapura

3 Og 2026 - 6:56am

Oleh : Aimi SaniFoto : Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Ahad, 2 Ogos. - Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS) telah menyelaras lawatan sambil belajar delegasi Sekolah Rendah Amar Pahlawan ke Yangzheng Primary School, Singapura.

Lawatan selama lima hari, bermula 2 hingga 6 Ogos 2026 merupakan Program Sekolah Berkembar antara NBD dan Republik Singapura.

Sehubungan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada para delegasi ialah Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, JSS, Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan.

Delegasi NBD kali ini diwakili oleh 15 peserta dari Sekolah Rendah Amar Pahlawan iaitu 12 murid daripada Tahun 4 dan Tahun 5 serta tiga orang guru pengiring.

Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara sekolah-sekolah di NBD dan Republik Singapura menerusi perkongsian amalan terbaik dalam bidang akademik, pedagogi serta pembangunan pelajar secara holistik.

Antara pengisian utama yang dirancang termasuklah sesi pembelajaran bersama di bilik darjah, program kepimpinan pelajar, pendedahan amali melalui pelbagai pendekatan pembelajaran, lawatan ke tapak-tapak bersejarah dan lestari serta aktiviti pertukaran budaya.

Melalui penyertaan ini, para pelajar diharap akan mendapat pendedahan terhadap sistem pendidikan antarabangsa, di samping memperkukuh semangat persahabatan serta nilai-nilai sejagat yang merentasi sempadan negara.

Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk mengetengahkan identiti dan warisan kebudayaan NBD melalui persembahan serta interaksi bersama pelajar Singapura.

Turut hadir, pegawai-pegawai kanan dari JSS, Kementerian Pendidikan, Pentadbiran Sekolah Rendah Amar Pahlawan serta ibu bapa dan ahli keluarga pelajar.