Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 Julai. - Dua lelaki warga tempatan dijatuhkan hukuman denda atas kesalahan memiliki rokok, ‘vape’ dan minuman keras tanpa permit yang sah di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006.
Majistret, Syaffina binti Shahif menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohd. Azri bin Jaffpri (D1), 34 tahun; dan Syazrin Syafie Syahmi bin Suhaili (D2), 26 tahun di Mahkamah Majistret hari ini.
Defendan D1 telah mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan dan telah dijatuhi hukuman denda keseluruhan berjumlah BND766,600 atau pemenjaraan selama 134 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Manakala defendan D2 telah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dan telah dijatuhi hukuman denda keseluruhan berjumlah BND181,500 atau pemenjaraan selama 28 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Defendan ditangkap oleh Pegawai Operasi Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) Bandar Seri Begawan (BSB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) Cawangan Limau Manis pada 16 Mac 2021 di sebuah kawasan letak kereta di Ban 3, Kampung Mulaut; 14 November 2021 di sebuah kawasan letak kereta di kawasan Sengkurong; 30 Ogos 2022 di sebuah premis perniagaan di Kampung Batong; 14 Oktober 2022 di sebuah rumah di Kampung Kulapis; dan 24 Disember 2022 di sebuah simpang di Kampung Parit Agau.
Semua rokok, ‘vape’ dan minuman keras dihukum rampas untuk diserahkan ke pihak kerajaan bagi tujuan dilupuskan.