Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BERAKAS, Selasa, 1 September. - Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Kembara Da’wah dan Umrah Belia Da’ie 2026 selama 15 hari 13 malam bermula 1 hingga 15 September 2026, dengan memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur, Malaysia dan seterusnya menuju Taif, Mekah Al-Mukarramah dan berakhir di Madinah Al-Munawwarah.
Program ini dianjurkan buat julung kalinya pada tahun 2026 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Ke-10 Badan Sukarelawan Belia Da’ie.
Seramai 29 jemaah yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da’ie berserta keluarga, alumni Akademi Da’wah serta orang awam menyertai program berkenaan.
Program ini turut disertai oleh ketua rombongan iaitu wakil Urus Setia Program Keugamaan Belia, PDI, Dayang Nooranizah binti Haji Tamin serta beberapa orang asatizah belia iaitu Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid selaku Mutawif Kembara, dan Dayang Siti Hurul-Ain Diyana binti Haji Abdul Majid @ Vieana selaku Pengerusi Program.
Kembara ini dirangka sebagai wadah mengukuhkan iman, mempertingkatkan penghayatan ibadah, mengeratkan ukhuwah dan membina semangat dakwah melalui penghayatan sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam secara lebih dekat di bumi Mekah dan Madinah.
Para peserta program bertolak ke Kuala Lumpur, Malaysia pada petang tadi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan meneruskan perjalanan ke Mekah Al-Mukarramah.
Sebelum memulakan perjalanan, taklimat ringkas dan Doa Selamat juga turut diadakan, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat di surau perlepasan. Sepanjang kembara, para peserta akan menziarahi beberapa lokasi utama, termasuk meliputi perjalanan ke Kota Taif, kemudian ke Mekah Al-Mukarramah bagi melaksanakan ibadah umrah serta menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk kawasan Manasik Haji, Gua Hira, Hudaibiyah dan lokasi-lokasi lain.
Selain aktiviti ibadah persendirian, penghayatan sirah serta pelaksanaan khidmat masyarakat berbentuk Infaq Sabil turut menjadi antara aktiviti kemuncak sepanjang kembara.
Inisiatif tersebut menyasarkan pengagihan makan minum kepada golongan fakir miskin di Mekah sebanyak 200 orang, dengan kebenaran daripada pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Rombongan kemudiannya akan bergerak ke Madinah Al-Munawwarah pada 9 September 2026 untuk menziarahi makam Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan kawasan Khandaq.
Diharapkan Kembara Da’wah ini dapat memberikan pengalaman kerohanian dan dakwah yang bermakna serta menjadi bekalan ‘ruhiyyah’ kepada para peserta agar dapat pulang dengan iman yang lebih kukuh dan semangat dakwah yang lebih tinggi dalam berkhidmat secara sukarela untuk ugama, masyarakat dan negara. Perkembangan program ini boleh diikuti melalui laman Instagram rasmi Belia Da’ie.