Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Oktober. – Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini menganugerahkan Brunei Methanol Company-Universiti Brunei Darussalam Industrial Scholarship (BMC-UBDIS) yang julung kalinya diperkenalkan kepada tiga pelajar pada majlis yang berlangsung di Dewan Laila Hasrat, Bangunan Institute for Leadership, Innovation and Advancement (ILIA), UBD.
Majlis berkenaan dikendalikan oleh Centre for Advanced Materials and Energy Sciences (CAMES), Faculty of Science (FOS) serta Pejabat Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan) UBD.
Perjanjian biasiswa berkenaan ditandatangani oleh Profesor Dr. Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman, bersama tiga penerima biasiswa berkenaan, iaitu Dayang Izzah Syazwani binti Muhamad Jusri, Awang Muhammad Fadhli bin Jaladi dan Awang Muhammad Haziq bin Haji Jaidi, serta penjamin masing-masing.
Hadir menyaksikan Majlis Penandatangan berkenaan, Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle, dan tetamu khas, Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Jesús Enrique Mora Marín.
Turut hadir, pihak pengurusan UBD dan BMC, wakil teknikal serta ahli akademik yang terlibat dalam projek kerjasama antara kedua-dua belah pihak.
Program BMC-UBDIS menanggung sepenuhnya yuran pengajian penerima biasiswa serta menyediakan elaun bulanan sebanyak BND1,000 sepanjang tempoh pengajian selama dua tahun bagi program Sarjana Sains secara Penyelidikan dalam bidang Pengajian Tenaga atau Sains Bahan.
Melalui kerjasama antara industri dan institusi akademik berkenaan, para penerima biasiswa juga akan menjalani kerja lapangan sehingga 52 hari bagi setiap tahun akademik secara langsung di kemudahan operasi BMC.
Pendedahan berkenaan bertujuan untuk memberikan pengalaman praktikal berkaitan aspek teknikal, operasi dan kemampanan dalam kemudahan pengeluaran metanol, di samping membolehkan para pelajar membangunkan pengalaman serta kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
Penganugerahan biasiswa berkenaan merupakan sebahagian daripada kerjasama penyelidikan yang lebih luas antara BMC dengan UBD, yang menggabungkan penyelidikan akademik dan kepakaran industri bagi meneroka penyelesaian praktikal yang relevan dengan sektor hiliran.
Menerusi kerjasama berkenaan, para pelajar akan terlibat secara langsung dalam projek penyelidikan perintis berasaskan makmal yang memfokuskan kepada penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.
Projek-projek berkenaan merangkumi penukaran karbon dioksida kepada methanol, serta pembangunan salutan antikulat dan antikakisan bagi keluli karbon, yang merupakan antara bahan penting dalam infrastruktur perindustrian.
Kerjasama yang julung kalinya dilaksanakan berkenaan mencerminkan komitmen bersama UBD dan BMC dalam menyokong Wawasan Brunei 2035, khususnya matlamat untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi mengikut piawaian antarabangsa yang tertinggi.
Melalui pelaburan dalam bakat tempatan dan keupayaan penyelidikan dalam bidang yang berkaitan dengan sektor hiliran, kerjasama berkenaan turut menyumbang kepada pembangunan teknologi yang menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD) serta membina masa depan tenaga yang mampan.
UBD sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan perkongsian strategik bersama pihak industri.
Sebarang pertanyaan lanjut atau peluang kerjasama boleh diajukan kepada Pejabat Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan) UBD menerusi e-mel ‘industry.ieed@ubd.edu.bn’.