Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan menerima mengadap Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad.
Semasa Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad telah berbincang bagi meningkatkan hubungan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura yang mempunyai kepentingan bersama.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah bahawa NBD memberi sokongan kepada Republik Singapura selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2027.
Menyertai Tuan Yang Terutama semasa majlis mengadap tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Tuan Kadir Maideen.
Turut hadir pada majlis mengadap berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad.
TYT mengadakan Lawatan Pengenalan ke NBD selama tiga hari, mulai 11 hingga 13 Oktober 2026.
Lawatan ini merupakan kunjungan pertama TYT ke NBD selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura.
Lawatan ini bertujuan untuk mempererat serta memperkukuh hubungan dan kerjasama sedia ada antara NBD dengan Republik Singapura termasuk menyaksikan Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pengiktirafan Pensijilan Halal dan Bidang-bidang Kerjasama antara Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan MUIS.