Oleh : Khartini Hamir
Foto : Azmah Haji Ahad
RIMBA, Sabtu, 1 Ogos. - Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan pagi tadi mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Brunei Pesticide Free (BPF) bertempat di Dewan Simpur, Agribisnes, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kampung Rimba.
Sebanyak empat buah syarikat pertanian tempatan telah dianugerahkan Sijil BPF.
Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemangku Timbalan Pengarah Pertanian, Awang Haji Noor Azri bin Haji Mohd. Noor selaku wakil Pengarah Pertanian dan Agrimakanan kepada Syarikat Food United, Natural Healing Enterprise, Mori Enterprise dan In Food Enterprise.
Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan kepada syarikat-syarikat tersebut yang telah berjaya memenuhi keperluan di bawah skim pensijilan BPF setelah melalui proses penilaian yang menyeluruh, meliputi amalan penanaman, pengurusan ladang, sistem pemantauan serta pengendalian lepas tuai.
Pensijilan BPF ini merupakan salah satu program di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan yang bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan perladangan tanpa penggunaan racun kimia.
Dengan adanya pensijilan ini, syarikat-syarikat yang telah diiktiraf layak untuk menggunakan label rasmi 'Brunei Pesticide Free' pada produk mereka. Ini akan meningkatkan keyakinan pengguna ke atas sumber makanan dari tanaman yang selamat dan bebas dari racun kimia.
Pensijilan ini juga meningkatkan ketelusan rantaian bekalan serta memudahkan pengguna membuat pilihan yang lebih yakin terhadap hasil tempatan.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai serta kakitangan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan; Jabatan Perkhidmatan Saintifik; Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) dan Bahagian Pemudahcara Perdagangan dan Akses Pasaran.
Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sangat mengalu-alukan dan menggalakkan pengusaha-pengusaha pertanian khususnya pengusaha tanaman untuk mengikuti program tersebut dan bersama-sama meningkatkan standard pertanian negara.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut atau untuk mendapatkan borang permohonan pensijilan, para peladang dan pengusaha bolehlah menghubungi Urus setia Brunei Pesticide Free, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan melalui e-mel di pesticide.free@agriculture.gov.bn.