NFLD 2026 tekankan kepentingan celik kewangan digital

3 Sep 2026 - 6:53am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

GADONG, Rabu, 2 September. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) melancarkan Hari Celik Kewangan Kebangsaan (NFLD) 2026 hari ini dalam usaha memperkukuh pengetahuan kewangan, menggalakkan tabiat kewangan yang positif serta meningkatkan kesejahteraan kewangan di negara ini.

Pelancarannya diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

Acara yang berlangsung selama tiga hari tersebut dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, merangkap Pengerusi Majlis Kebangsaan Celik Kewangan (MKCK) bersama Pengarah Urusan BDCB, Dayang Hajah Rashidah binti Haji Sabtu.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Hajah Rashidah menegaskan kepentingan untuk memastikan akses yang lebih luas kepada perkhidmatan kewangan, yang dapat menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan kewangan.

Katanya, meskipun lebih 80 peratus penduduk negara ini mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan formal, rangkuman kewangan perlu disokong oleh tahap celik kewangan yang kukuh serta tingkah laku kewangan yang bertanggungjawab bagi mendukung kesejahteraan kewangan dalam jangka panjang.

Beliau turut mengetengahkan celik kewangan digital sebagai bidang yang semakin penting untuk  diberikan perhatian khususnya dengan penggunaan perkhidmatan kewangan digital yang terus berkembang.

Menurutnya, Kaji Selidik Kebangsaan Celik Kewangan 2026 merekodkan skor Celik Kewangan Digital sebanyak 43 peratus, yang menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh keupayaan individu dalam menggunakan dan mengendalikan perkhidmatan kewangan digital dengan yakin dan selamat.

Keperluan ini turut diberi perhatian di peringkat serantau, dengan BDCB menyumbang kepada pembangunan Kerangka Kompetensi Celik Kewangan Digital ASEAN bagi memperkukuh keupayaan dalam bidang ini.

Majlis turut menampilkan ucaptama oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Research for Impact, Singapura, Dr. Joanne Yoong bertajuk ‘Daripada Pengetahuan kepada Tindakan: Pemahaman Tingkah Laku untuk Memperkukuh Kesejahteraan dan Kedayatahanan Kewangan’.

Ucaptama tersebut membincangkan jurang yang masih wujud antara pengetahuan kewangan dan amalan sebenar, dengan mengetengahkan bahawa pemahaman semata-mata tidak semestinya membawa kepada keputusan  kewangan yang lebih baik.

Turut disentuh ialah bagaimana kecenderungan tingkah laku, perkhidmatan kewangan digital dan penipuan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) menimbulkan cabaran baharu, sekali gus menekankan keperluan terhadap dasar, produk dan pendidikan kewangan yang lebih berkesan.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal; Ahli-ahli MKCK, pegawai-pegawai kanan dan wakil-wakil daripada BDCB, agensi-agensi kerajaan berkaitan, institusi – institusi pengajian tinggi, institusi-institusi kewangan dan rakan-rakan strategik.

NFLD 2026 akan diteruskan hingga 4 September 2026 melalui pelbagai aktiviti pendidikan kewangan.

Orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi Jerayawara Kesedaran Kewangan yang akan diadakan di kawasan lobi, The Mall, Gadong bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengurusan kewangan serta menerokai pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan yang tersedia.

Di samping itu, sesi Taklimat Kewangan akan diadakan bagi para jemputan daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat  berkaitan kerajaan dan institusi-institusi pengajian tinggi.

Program berkenaan disokong oleh MKCK dan dilaksanakan dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei, Tabung Amanah Pekerja, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Cyber Security Brunei, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), National Digital Payments Network Sdn. Bhd. (ndpx), Financial Planning Association of Brunei Darussalam, Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD), Baiduri Bank Sdn. Bhd., Standard Chartered Bank, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd., AIA, Great Eastern, BIBD Securities Sdn. Bhd., Baiduri Capital Sdn. Bhd. dan Standard Chartered Securities (B) Sdn. Bhd.

Usaha kolektif ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kesedaran kewangan serta membina  masyarakat yang lebih berdaya tahan dari segi kewangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai NFLD 2026, orang ramai boleh melayari ‘www.bdcb.gov.bn’ atau mengikuti ‘@centralbank.brunei’ dan ‘@usinwise’ di Instagram.

NFLD merupakan acara celik kewangan tahunan yang diterajui oleh BDCB dengan  sokongan MKCK.

Antara objektif acara ini adalah untuk meningkatkan tahap celik kewangan di Negara Brunei Darussalam, menggalakkan pengurusan kewangan yang bijak dan meningkatkan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan kewangan yang tersedia di negara ini.

Bersama-sama, kita dapat membina masyarakat yang celik kewangan dan berdaya tahan dari segi kewangan.