Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji AliFoto : Ihsan Jabatan Mufti Kerajaan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 Julai. - Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned berkata, menjadi imam sembahyang bukan suatu pekerjaan yang mudah, justeru, diharapkan akan terus mendalami kaifiat menjadi imam sembahyang, bagaimana cara duduk iftirash dan duduk tahiyat akhir, bagaimana duduk imam sesudah salam dan lain-lain yang sangat penting diketahui.
Ujar Yang Berhormat lagi, etika pakaian pelajar-pelajar ketika menjalani kursus latihan industri di jabatan ini adalah sangat sesuai dan sangat bagus dan berharap pelajar-pelajar tersebut akan dapat mempertahankannya sampai di luar jabatan ini.
“Pada masa ini budaya berpakaian Melayu yang cukup sesuai dengan keislaman tidak berapa digemari lagi. Ini dapat dilihat di masjid-masjid ketika menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat, tidak sebagaimana pada tahun-tahun 50-an dan 60-an berpakaian baju Melayu itu cukup digemari,” tegas Yang Berhormat semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil dan Cenderahati Tamat Kursus Latihan Industri kepada pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi Sesi Pengajian 2025 / 2026 bertempat di Ruang Legar, Jabatan Mufti Kerajaan (JMK).
Yang Berhormat seterusnya melahirkan rasa gembira melihat para pelajar UNISSA yang menjalani Kursus Latihan Industri di JMK berani tampil menjadi imam sembahyang dan turut mengalu-alukan pelajar-pelajar ini, selepas penempatan ini, untuk datang membuat rujukan jika ada keperluan.
Seramai lapan mahasiswa dan mahasiswi yang terdiri daripada Fakulti Shariah, iaitu empat mahasiswi daripada Program Bachelor of Shariah (Fiqh & Judiciary), dua mahasiswa daripada Program Bachelor of Shariah (Fiqh & Usul) dan dua mahasiswa daripada Fakulti Bahasa Arab, Program Bachelor of Arabic Language & Translation telah menyelesaikan penempatan latihan industri selama 10 minggu bermula 18 Mei hingga 27 Julai 2026.
Awang Khairul Hafizhan bin Kamis selaku wakil mahasiswa dalam ucapannya berkata bahawa setiap pengalaman yang dilalui akan pasti meninggalkan hasil dan impak yang berharga kepada diri seseorang.
Menurutnya lagi, dengan pengalaman mereka menjalani latihan ini di JMK, bukan sahaja memberikan pendedahan kepada suasana kerja sebenar, malah turut memperkukuhkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta keyakinan diri dalam bidang pengajian yang mereka ceburi.
“Latihan industri di JMK telah memberikan pengalaman yang amat bernilai dan sukar diperoleh di bilik kuliah. Kami bukan sahaja didedahkan kepada aplikasi ilmu fiqh dalam tugasan sebenar, bahkan turut mempelajari nilai-nilai amanah, ketelitian, disiplin, adab penyelidikan serta tanggungjawab dalam menyampaikan hukum syarak kepada masyarakat,” ujarnya.
Segala ilmu, pengalaman dan bimbingan yang mereka peroleh di sepanjang berada di JMK, akan menjadi bekalan yang amat bermakna bagi mereka dalam melanjutkan pengajian mereka di UNISSA jelasnya lagi.