Doa Kesyukuran sempena 42 Tahun Hospital RIPAS

27 Sep 2026 - 3:55am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 September. - Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bersempena 42 Tahun Perkhidmatan di Surau Nuurul 'Inayah.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat secara berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi  Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak  Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta Al-Marhum Duli Yang  Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka  Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Doa Kesyukuran serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Pegawai Pelajaran, Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital RIPAS, Awang Ahmad Syuja'ie bin Begawan Mudim Haji Metassim.

Majlis Doa Kesyukuran tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran atas 42 tahun perkhidmatan Hospital RIPAS dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada masyarakat.

Sambutan berkenaan turut menjadi wadah bagi menghargai sumbangan dan komitmen warga hospital yang sentiasa memainkan peranan penting dalam mendukung penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berterusan kepada masyarakat.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff serta ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Hospital RIPAS.