Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pembangunan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Pihak Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan memaklumkan kepada orang ramai bahawa satu Perintah Penutupan telah dikeluarkan bagi Blok ‘A’ dan Blok ‘B’ Bangunan Amber Hills yang terletak di Lot 3143, Kampung Pangkalan Gadong, Mukim Gadong ‘B’ di bawah Seksyen 35(2)(b), dibaca bersama Seksyen 36(1) Akta Kawalan Bangunan (Penggal 256) (Akta Kawalan Bangunan). Perintah tersebut berkuat kuasa mulai 8 Oktober 2026 dan masih berkuat kuasa.
Pada 8 Oktober 2026, wakil-wakil daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kerja Raya, dan ABCi serta pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan telah mengadakan lawatan tapak bersama berikutan insiden baru-baru ini.
Perintah Penutupan tersebut dikeluarkan bagi melindungi keselamatan awam sementara menunggu siasatan teknikal terperinci mengenai keadaan dan integriti struktur blok-blok yang terjejas.
Orang Kelayakan (Qualified Persons) yang dilantik akan menilai kawasan-kawasan yang terjejas dan mengenal pasti apa-apa langkah yang diperlukan bagi memastikan kawasan tersebut selamat untuk diduduki.
Pemilik bangunan telah diarahkan untuk melantik pasukan perunding profesional yang terdiri daripada arkitek dan jurutera profesional dalam bidang kejuruteraan awam, struktur, mekanikal dan elektrikal yang berkaitan, yang berdaftar dengan Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) serta mempunyai sijil amalan yang sah.
Pasukan tersebut akan menyediakan dan mengemukakan pelan bagi apa-apa kerja pembaikan dan pembetulan yang diperlukan serta mendapatkan kelulusan yang berkenaan. Apa-apa Permit Menduduki (Occupation Permit) yang diperlukan hendaklah diperoleh sebelum bangunan diduduki semula.
Di bawah Seksyen 36(3) Akta Kawalan Bangunan, tiada sesiapa boleh memasuki atau berada di dalam blok-blok yang terjejas sepanjang Perintah Penutupan berkuat kuasa tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada ABCi, kecuali pegawai yang diberi kuasa semasa menjalankan tugasnya.
Penyempurnaan penilaian atau kerja pembaikan, atau perakuan oleh Orang Kelayakan, tidak dengan sendirinya membenarkan bangunan tersebut diduduki.
Perintah tersebut kekal berkuat kuasa sehingga ABCi menyampaikan notis tamat tempoh secara rasmi mengikut Seksyen 36(8), dengan menyatakan tarikh tamat tempoh Perintah sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 36(9).
Keselamatan awam kekal menjadi keutamaan ABCi. ABCi mengucapkan terima kasih kepada orang ramai serta semua pihak yang terjejas atas kerjasama dan kefahaman mereka dan menyeru semua pihak mematuhi Perintah Penutupan tersebut.
Bagi pertanyaan mengenai status perintah penutupan bangunan tersebut, orang ramai boleh menghubungi ABCi melalui WhatsApp ABCi ‘hotline’ +673 814 0365 semasa waktu bekerja dan juga melalui e-mel ‘abci.customerservice@mod.gov.bn’.