Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Ahmad
Foto : Ihsan Persatuan Motosikal Darussalam
TUNGKU LINK, Ahad, 13 September. - Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) telah menganjurkan Basic Marshal Program Sesi 2026 yang bertujuan membantu melahirkan para penunggang motosikal yang berpengetahuan, beretika, berdisiplin dan berhemah.
Program berkenaan diadakan di Mutiara Exchange pada hari ini.
Antara isi program yang dimuatkan di sepanjang program berkenaan dijalankan ialah Asas Keselamatan 5P, Teknik Asas Menunggang Secara Solo dan Berkumpulan, Marshal, Pertolongan Kecemasan, Praktikal, Asas Menaiki Motosikal, Asas Pusingan, Asas Mengangkat Motosikal, Asas Pengendalian Secara Perlahan, Asas Memberhentikan Motosikal, dan Teknik Mengangkat Motosikal.
Program kali ini dikendalikan oleh PEMODA Marshal Project Team dan dihadiri oleh seramai 25 ahli PEMODA.
Matlamat program adalah bagi mendukung hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya selain menyampaikan asas keselamatan menunggang motosikal di negara ini.
Diharap dengan adanya program berkenaan akan dapat menjadikan semua penunggang motosikal di negara ini bagi sama-sama menimba ilmu dan pengetahuan dalam membentuk penunggang motosikal yang berkualiti.
Program diselajurkan dengan penyampaian lencana khas kepada ahli-ahli Marshal Project Team oleh Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad.