Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
TUTONG, Ahad, 2 Ogos. - Belia merupakan satu kumpulan atau golongan yang amat penting dalam sesebuah negara kerana mereka adalah tenaga penggerak pembangunan, pelapis kepimpinan dan harapan bangsa pada masa hadapan. Apa yang berlaku kepada generasi belia pada hari ini akan menentukan keadaan negara pada masa akan datang.
Belia hendaklah mempunyai akhlak yang baik, berilmu, beriman dan berintegriti. Para belia juga perlulah menggunakan masa muda mereka dengan perkara yang bermanfaat dan memperkukuhkan hubungan dengan Allah Subhanahu Wata’ala. Sembahyang lima waktu hendaklah dijaga dengan sempurna, Al-Quran hendaklah dijadikan teman harian, doa dan zikir hendaklah menjadi amalan yang berterusan.
Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk ‘Belia Masa Depan Negara’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Zon 2, Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) (KHEU), Awang Norafendi bin Norsabah bagi menyerikan Malam Munajat anjuran KHEU Ke-240 yang bersiaran dari Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Awang Norafendi seterusnya mengongsikan menjaga akhlak dan sahsiah diri juga merupakan asas pembentukan masyarakat yang harmoni. Sikap jujur, amanah, bertanggungjawab, menghormati ibu bapa dan orang yang lebih tua juga perlu sentiasa diamalkan.
Ujar beliau, negara yang maju bukan hanya dibina oleh bangunan yang tinggi dan teknologi yang canggih tetapi turut dibina oleh rakyat terutamanya belia yang mempunyai nilai moral yang tinggi, semangat patriotisme dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat.
Hadir bagi sama-sama menyemarakkan lagi program tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Program Malam Munajat minggu ini turut disertai oleh Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Juga menyertai, warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Malam Munajat tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Daerah Tutong, JHEM, KHEU, Awang Haji Mohd. Aidil Sofian bin Haji Mohd. Yassin dari Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong.
Ini diikuti dengan bacaan Surah Al-Kahfi, ayat 1 hingga 10 beramai-ramai dipimpin oleh Awang Muhammad Azfar Syukri bin Azamri, salah seorang Belia Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang bersama Belia-belia Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Imam Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong, JHEM, KHEU, Awang Abdul Raqib bin Haji Awang.
Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Awang Mohammad 'Ammar Zulqarnain bin Mohammad Azril, Belia Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh pelapis Bilal Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong, JHEM, KHEU, Awang Muhammad Ahwazul Aqil bin Haji Abd. Rahman.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut : http://tiny.cc/munajatkheu.