Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Ahad, 15 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama para Pemimpin ASEAN, hari ini berkenan berangkat menghadiri Sesi ASEAN Leaders’ Interface Bersama Wakil-wakil Belia ASEAN yang berlangsung di Philippine International Convention Center, Manila.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Semasa sesi berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengalu-alukan kehadiran wakil-wakil belia ASEAN dan menzahirkan penghargaan atas pandangan serta cadangan yang telah dikongsikan.
Kebawah DYMM bertitah menekankan bahawa sumbangan daripada wakil-wakil belia adalah tepat pada masanya memandangkan ASEAN sedang berusaha ke arah Visi Komuniti ASEAN 2045, serta menegaskan bahawa peluang yang terhasil daripada keputusan - keputusan yang dibuat pada hari ini mestilah dapat diakses oleh semua golongan belia.
Walaupun Kecerdasan Buatan (AI) membawa prospek baharu, baginda bertitah mengakui bahawa jurang digital masih menjadi penghalang kepada keterangkuman dan menimbulkan kebimbangan yang wajar mengenai kemungkinan kehilangan pekerjaan.
Bagi mempersiapkan golongan belia menghadapi perubahan teknologi yang pesat ini, Kebawah DYMM seterusnya bertitah menggariskan keperluan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran yang relevan serta laluan kerjaya yang jelas.
Baginda bertitah mengetengahkan Program Perantisan IT Negara Brunei Darussalam sebagai contoh, yang menggabungkan pensijilan industri dengan latihan dalam pekerjaan selama enam bulan bagi belia yang belum mempunyai pekerjaan.
Dalam titah Kebawah DYMM turut menggalakkan kerjasama lebih erat antara badan-badan pendidikan dan tenaga kerja ASEAN, penyedia latihan serta majikan bagi mengenal pasti keperluan kemahiran baharu dan memperluaskan akses kepada pembelajaran praktikal.
Mengakhiri titah, baginda menyarankan agar cadangan-cadangan daripada wakil-wakil belia diberikan pertimbangan yang sewajarnya, khususnya melalui Pelan Kerja ASEAN mengenai Belia 2026-2030.
Kebawah DYMM bertitah menggalakkan badan-badan ASEAN yang berkaitan untuk meneliti cadangan-cadangan tersebut melalui perundingan bersama wakil-wakil belia, serta memberikan perkembangan mengenai kemajuan pelaksanaannya menjelang pertemuan seterusnya.