Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Ahad, 15 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat menghadiri Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 yang berlangsung di Coconut Palace, Manila.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama para pemimpin ASEAN bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, dengan baginda bertitah menekankan keperluan ASEAN untuk bertindak lebih awal dalam menangani cabaran yang timbul dari luar rantau ini, di samping memperkukuh perpaduan dan penyelarasan bagi menangani cabaran dalaman ASEAN.
Dalam titah Kebawah DYMM menyambut baik inisiatif Pengerusi ASEAN untuk mengadakan rundingan apabila krisis mengancam kepentingan bersama ASEAN, bagi mengelakkan tekanan tersebut daripada berkembang menjadi kecemasan serantau.
Baginda juga bertitah menyatakan bahawa pertemuan sebegini membolehkan Negara-negara Anggota ASEAN berkongsi penilaian dan menyelaraskan tindakan praktikal bagi menangani gangguan perdagangan, bekalan tenaga, keterjaminan makanan, serta keselamatan warganegara masing-masing.
Kebawah DYMM turut bertitah menegaskan bahawa mekanisme yang diterajui oleh ASEAN menyediakan peluang penting untuk menggalakkan sikap berhemah dan penyelesaian pertikaian secara aman melalui dialog dengan rakan-rakan yang berkaitan, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Sambil menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Republik Filipina selaku Pengerusi ASEAN serta usaha Utusan Khasnya bagi Republik Kesatuan Myanmar, Kebawah DYMM bertitah menegaskan keperluan untuk meneruskan penglibatan secara berterusan dengan Republik Kesatuan Myanmar memandangkan kerumitan situasi di negara tersebut.
Baginda dalam titah turut menegaskan semula peranan penting Five-Point Consensus dalam mengurangkan keganasan, menyalurkan bantuan kemanusiaan dan mewujudkan suasana yang kondusif bagi dialog inklusif.
Bagi memperkukuh pendekatan kolektif ASEAN, Kebawah DYMM seterusnya bertitah menggalakkan Negara-negara Anggota ASEAN untuk memanfaatkan hubungan dua hala masing-masing bagi meluaskan akses Utusan Khas tersebut kepada pihak-pihak berkepentingan, termasuk melalui penyelarasan hubungan dengan pihak-pihak berkenaan dan perkongsian hasil pertemuan dengan Utusan Khas tersebut, serta melengkapi usaha penglibatan konstruktif yang sedang dijalankan dengan Republik Kesatuan Myanmar, selaras dengan kerangka yang telah dipersetujui dan semangat perpaduan ASEAN.