Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit
TUNGKU, Ahad, 15 November. - Brunei Farm Run 2026 merupakan sebuah acara larian bertemakan pertanian dan gaya hidup sihat yang dianjurkan bagi mempromosi sektor agromakanan di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Acara berkenaan menggabungkan elemen rekreasi, pendidikan dan kesedaran terhadap kepentingan industri pertanian serta peranan para petani dalam menjamin keterjaminan makanan negara.
Berangkat menyertai Brunei Farm Run 2026 yang diadakan di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP), di sini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Hadir menyempurnakan pelepasan para peserta Brunei Farm Run 2026 berkenaan, Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat.
Brunei Farm Run 2026 adalah kolaborasi bersama Pejabat KKP di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh sektor pertanian dan meningkatkan kesedaran awam terhadap sumber makanan tempatan, acara tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kehidupan di ladang, tanaman tempatan serta kepentingan sokongan kepada produk tempatan.
Antara objektif larian ialah mempromosi sektor pertanian dan produk tempatan Negara Brunei Darussalam (NBD), meningkatkan kesedaran mengenai keterjaminan makanan, memberi peluang kepada petani dan usahawan agri mempromosi hasil mereka serta mengeratkan hubungan komuniti.
Konsep utama adalah 'Run Through Nature, Support Local Farmers' iaitu berlari melalui kawasan pertanian sambil menikmati pengalaman unik berbanding larian biasa di bandar.
Para peserta melalui lima stesen, iaitu Melon Cutfruits; Pineapple Cutfruits; Air; Air Balang dan Ice Cream, dan setelah merentasi garisan penamat para peserta boleh mengambil buah tangan berupa beras, buah terung, sayur lada dan minuman air kelapa (Cocoxim Coconut Water).
Peserta juga melalui Laluan Bertema (Thematic Route), iaitu zon buah-buahan dan zon sayur-sayuran.
Sejurus selesai acara larian, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah juga berkenan melawat ke Farm Market Brunei Farm Run yang diadakan di sekitar Taman Pejabat KKP.
Melalui acara seumpama berkenaan, ia diharap akan dapat meningkatkan kesedaran terhadap pertanian tempatan, meningkatkan jualan produk agro, menggalakkan agropelancongan dan mengukuhkan imej NBD sebagai negara hijau dan mampan.
Penganjuran Brunei Farm Run 2026 bukan sekadar sebuah acara sukan rekreasi biasa, malah ia merupakan satu usaha inovatif yang menyatukan elemen kesihatan fizikal, pemeliharaan alam sekitar, dan pengukuhan sosial ekonomi setempat.
Melalui konsep 'Kembara Agro-Interaktif' yang mampan, acara berkenaan berpotensi besar untuk diangkat sebagai acara ikonik baharu dalam kalendar pelancongan sukan (sports tourism) NBD.
Turut memeriahkan acara ini dengan tajaan daripada Syarikat Wasan Miling, Superfish Growers, IAM Food, Syarikat Ying Bee dan juga Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tungku dan Katok.