MPM Labi anjur Program Hari Keluarga

16 Nov 2026 - 7:40am

Berita dan Foto : Rohani Haji Abdul Hamid

LABI, Ahad, 15 November. - Program Hari Keluarga anjuran Majlis Perundingan Mukim Labi dengan kerjasama para ‘stakeholders’ Mukim Labi dan Revitalise Team Belait telah diadakan bertempat di Dewan Serbaguna Mukim Labi, Daerah Belait, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada program tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat.

Antara pengisian utama program berkenaan ialah Aktiviti Berjalan Kaki atau Walkaton sejauh lebih kurang 1 hingga 2 kilometer di Jalan Telingan.

Aktiviti tersebut membawa pesanan penting mengenai kepentingan menjaga kesihatan melalui amalan gaya hidup aktif, di samping menggalakkan aktiviti fizikal dan riadah sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan seharian tanpa mengira peringkat umur.

Program berkenaan turut menyediakan gerai-gerai jualan yang memberikan peluang kepada para peniaga tempatan untuk memasarkan produk dan hasil jualan masing-masing. Selain itu, para pengunjung juga disajikan dengan persembahan istimewa dari Rumah Panjang Mendaram.

Terdahulu, Ketua Kampung Labi 2, Awang Muhammad Nurazri bin Haji Abdul Mustafah, dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa Program Hari Keluarga seumpama ini memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk meluangkan masa bersama keluarga, beramah mesra dengan jiran tetangga serta mengeratkan hubungan silaturahim.

“Apa yang lebih penting, program ini bukan sekadar menghimpunkan masyarakat untuk beriadah, tetapi menjadi platform untuk membina hubungan yang lebih erat antara pemimpin akar umbi, agensi kerajaan, khususnya ‘stakeholders’ Mukim Labi dan seluruh lapisan masyarakat,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan program ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan masyarakat di peringkat akar umbi dalam mengukuhkan hubungan kekeluargaan, memupuk perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Turut hadir bagi sama-sama memeriahkan program berkenaan, Penghulu Mukim, Pemangku Penghulu Mukim, Ketua Kampung, Pemangku Ketua Kampung, Ketua Rumah Panjang, para pegawai dan wakil daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya serta agensi-agensi kerajaan, para ‘stakeholders’ Mukim Labi, para peniaga dan Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim Labi.