Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
REPUBLIK SINGAPURA, Khamis, 1 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, meneruskan program rasmi sempena Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei Ke-12 di Republik Singapura, pada sebelah petang hari ini dengan berangkat mengadakan lawatan budaya ke dua mercu tanda warisan terkemuka di Republik Singapura.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berangkat ke Kampong Glam untuk melawat Masjid Sultan yang bersejarah serta Pusat Warisan Melayu yang terletak bersebelahan dengannya.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad.
Atur cara lawatan budaya berkenaan dimulakan dengan lawatan berpandu dan taklimat mengenai sejarah kaya Masjid Sultan, sebuah mercu tanda ikonik yang sedang meraikan peristiwa bersejarah ulang tahun ke-200 sejak penubuhannya pada 1819.
Lawatan berkenaan turut mengetengahkan pencapaian seni bina bangunan semasa masjid tersebut yang bakal mencecah usia satu abad.
DYTM kemudiannya berangkat melawat Pusat Warisan Melayu untuk menyaksikan pameran budaya di pusat berkenaan.
Sepanjang lawatan berkenaan, DYTM disembahkan taklimat mengenai usaha gigih Republik Singapura dalam memelihara dan mempromosi warisan, seni, serta budaya Melayu-Islam, yang turut menyerlahkan ikatan sosiobudaya yang erat dan akar umbi yang dikongsi bersama, yang menghubungkan masyarakat Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.