Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan AhmadiFoto : Muhamad Asri Awang Haji Abas
BERAKAS, Khamis, 1 Oktober. - Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448 Hijrah / 2026 Masihi Peringkat Akhir melabuhkan tirainya dengan menyaksikan Awang Mohammad Amirul Ariffin bin Haji Noraidi dan Dayang Najla’ Sabreena binti Haji Abd. Rajid masing-masing dinobatkan sebagai johan bagi Kategori Qari dan Qariah kali ini.
Awang Mohammad Amirul Ariffin unggul dengan markah 91.33 peratus, manakala Dayang Najla’ Sabreena mencatat 89.80 peratus bagi mengatasi peserta lain dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), malam tadi. Kedua-dua johan menerima piala pusingan, hadiah iringan, sijil penyertaan serta wang tunai BND3,000 setiap seorang.
Bagi Kategori Qari, Awang Muhammad Nur Asmawi bin Awang Asli muncul naib johan dengan markah 88.72 peratus, diikuti Awang Abdul Haziq Syarafuddin bin Abdul Habib di tempat ketiga dengan 87.45 peratus.
Sementara itu, Kategori Qariah menyaksikan Dayang Nurhaneyah binti Nordin meraih tempat kedua dengan 88.22 peratus, manakala Dayang Nur Damia Faqihah binti Mohammad Aji menduduki tempat ketiga dengan 86.47 peratus.
Naib johan bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai BND2,000, manakala pemenang tempat ketiga menerima wang tunai BND1,000 berserta hadiah iringan dan sijil penyertaan. Peserta yang menerima hadiah sagu hati pula dianugerahkan hadiah iringan, sijil penyertaan dan wang tunai BND500.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara iaitu Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok dan Yang Berhormat Mohamad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas ‘B’; Setiausaha-setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan KKBS.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Awang Mohammad Hazwan Nizam bin Ibrahim, bekas peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun 2025, yang juga membacakan Doa Selamat dan kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim selaku Pengerusi Majlis.
Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir pada tahun ini menyaksikan 10 peserta yang terdiri daripada lima qari dan lima qariah, termasuk Johan Menunggu Qari dan Qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2025, yang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Majlis turut diserikan dengan Persembahan Tausyeh Belia daripada Kumpulan Dhafwatul ‘Aisy, Beliawanis Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Kemuncak majlis ialah menyaksikan pengumuman keputusan pertandingan musabaqah yang disampaikan oleh Awang Haji Mohd. Sujairi bin Haji Dollah selaku Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448 Hijrah / 2026 Masihi Peringkat Akhir.
Pada tahun ini, seramai 111 peserta telah mendaftarkan diri bagi mengikuti Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1448H / 2026M.
Penganjuran musabaqah ini mencerminkan komitmen berterusan KKBS melalui Jabatan Belia dan Sukan dalam menyediakan platform yang positif bagi pembangunan belia, khususnya dalam memperkukuhkan nilai kerohanian, pembentukan sahsiah serta penghayatan ajaran Islam.
Musabaqah berkenaan merupakan salah satu program tahunan yang bertujuan bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan pada 1 Jamadilakhir 1417H bersamaan 13 Oktober 1996M.
Di antara lain titah baginda, “Hasrat kita yang tunggal ialah melihat generasi Al-Quran itu dikongsi sama oleh semua pihak dan golongan, terutama golongan belia. Kita akan merasa bangga dengan lahirnya belia-belia yang berwatak soleh.
“Bahawa salah satu tanda kesolehan itu ialah terlibatnya mereka dengan Al-Quran sama ada keterlibatan itu selaku pembaca biasa, mahupun sekali gus menjadi penghayat dan pengamal ajaran-ajarannya”.
Di samping itu, Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan merupakan antara inisiatif berterusan ke arah melahirkan generasi belia yang celik Al-Quran, berakhlak mulia serta berupaya menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Selain untuk menyediakan wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia yang berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah Negara Brunei Darussalam, musabaqah ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia, memupuk dan menyemai rasa persahabatan dalam kalangan peserta belia melalui program keagamaan serta menjadi persediaan bagi pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.
Melalui penganjuran program seumpama ini, adalah diharapkan agar budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran akan terus diperkasakan dalam kalangan belia, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang berilmu, berdaya tahan dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni serta agama.