Berangkat meninjau kemajuan penyelidikan perubatan translasi di BD-MED

2 Okt 2026 - 8:30am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

REPUBLIK SINGAPURA, Khamis, 1 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini meneruskan program rasmi sempena Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei Ke-12 di Republik Singapura.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah memulakan program rasmi dengan berangkat mengadakan lawatan ke SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED) bagi meninjau kemajuan dalam penyelidikan perubatan translasi.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS) dijunjung oleh Menteri Kesihatan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung.

Semasa lawatan berkenaan, DYTM disembahkan taklimat dan pembentangan mengenai kerjasama saintifik yang sedang dijalankan oleh institut berkenaan bersama Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Bertempat di NCCS, SingHealth Duke-NUS Institute of BD-MED merupakan sebuah kemudahan penyelidikan bersama yang mengkaji tumbuhan rantau ini bagi menemui rawatan perubatan baharu.

Melalui makmal genomik bersama dengan UBD, institut berkenaan telah berjaya memetakan genom bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD), iaitu bunga Simpur, bagi membuka potensi sifat anti kanser dan penyembuhannya.

Selepas sesi pembentangan, DYTM berangkat melawat makmal-makmal penyelidikan dan menyaksikan demonstrasi saintifik secara langsung yang mempamerkan teknologi perubatan moden.

Di makmal, DYTM juga berkenan berinteraksi dengan seorang penuntut tahun akhir jurusan Farmasi dari UBD yang sedang menjalani program 'Discovery Year' di BD-MED.