Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
JERUDONG, Khamis, 1 Oktober. - Penuaan berjaya bukan semata-mata tentang hidup lebih lama. Yang lebih utama ialah bagaimana kita memastikan kehidupan dapat dilalui dengan sihat, aktif, selamat, bermaruah, dihargai dan terus mempunyai tujuan.
Dengan perubahan demografi dan peningkatan jangka hayat, kita perlu mempersiapkan masyarakat bukan sahaja untuk memberikan penjagaan dan sokongan apabila diperlukan, tetapi juga untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan warga emas terus berdikari, aktif dan mengambil bahagian secara bermakna dalam kehidupan bermasyarakat.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menekankan demikian dalam ucapannya selaku tetamu kehormat bersama pada Majlis Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) 2026 yang diadakan di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, di sini.
Menurut Yang Berhormat lagi, penuaan berjaya tentunya mempunyai pengertian yang berbeza bagi setiap individu. Bagi sesetengah orang pula, ia mungkin bermakna dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan. Bagi yang lain, ia mungkin diterjemahkan melalui penglibatan bersama keluarga dan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, pekerjaan, aktiviti sukarela, mahupun terus memainkan peranan sebagai penjaga, pembimbing dan sumber pengalaman kepada generasi muda.
"Pada hakikatnya, pengalaman tidak bersara dan ilmu tidak mempunyai tarikh luput. kebijaksanaan yang dihimpunkan sepanjang kehidupan adalah khazanah bernilai yang perlu terus kita hargai dan manfaatkan. Apa yang penting ialah setiap warga emas diberikan peluang, ruang dan sokongan untuk menjalani kehidupan dengan sebaik-baiknya mengikut kemampuan dan keadaan masing-masing.
"Kita mempunyai contoh yang membanggakan melalui pencapaian Awang Liew Thiam Kai, yang pada usia 70 tahun, yang baru ini telah muncul sebagai juara Kategori Lelaki 70–74 tahun dalam Kejohanan HYROX Beijing 2026, dengan catatan masa 1 jam 47 minit 9 saat.
"Pencapaian ini membawa satu mesej yang cukup bermakna bahawa usia tidak semestinya membataskan aspirasi seseorang untuk terus mencabar diri, menetapkan matlamat dan mencapai sesuatu yang membanggakan," ujar Yang Berhormat
Tambah Yang Berhormat, setiap individu tentunya mempunyai kemampuan dan perjalanan kehidupan yang berbeza. namun, kisah seperti ini mengingatkan kita bahawa usia lanjut tidak semestinya menjadi pengakhiran kepada penglibatan, pembelajaran dan sumbangan.
Sebaliknya kata Yang Berhormat lagi, ia boleh menjadi satu lagi fasa kehidupan yang terus dipenuhi dengan tujuan, peluang dan makna. Dalam memastikan aspirasi berkenaan dapat diterjemahkan secara lebih tersusun dan berterusan, kita memerlukan bukan sahaja niat yang baik, tetapi juga hala tuju yang jelas dan tindakan susulan yang dijayakan bersama.
Justeru itu jelas Yang Berhormat, pelancaran Buku Pelan Tindakan Warga Emas : Ke Arah Penuaan Berjaya pada hari ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh usaha negara ke arah meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan warga emas.
Yang Berhormat seterusnya berkata pelan tindakan berkenaan memberi perhatian kepada pelbagai aspek yang dekat dengan kehidupan seharian warga emas, termasuk kesihatan, keselamatan sosial, perumahan dan persekitaran, penyertaan sosial, rekreasi dan aktiviti masa lapang, pembelajaran sepanjang hayat, serta pengangkutan dan mobiliti.
Kesemua aspek berkenaan kata Yang Berhormat lagi, saling berkait. Contohnya, kesihatan yang baik perlu disokong oleh persekitaran yang selamat dan mudah diakses, manakala kesejahteraan pula turut bergantung kepada hubungan kekeluargaan, persahabatan dan peluang untuk terus terlibat dalam masyarakat.
"Atas sebab itulah, Buku Pelan Tindakan ini turut mencerminkan pendekatan bersepadu yang menuntut tanggungjawab bersama daripada kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti, keluarga, dan warga emas sendiri.
"Hasrat kita adalah jelas. Kita mahu membina sebuah negara yang membolehkan setiap individu menua dengan sihat, aktif, selamat, dihormati, dan bermaruah, serta terus mempunyai peluang untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.
"Usaha membina masyarakat yang benar-benar mesra warga emas memerlukan kita melihat agenda ini dalam skop pembangunan negara yang lebih besar. Secara tidak langsung sebuah persekitaran yang selamat, mudah diakses, dan inklusif untuk warga emas sebenarnya merupakan pelaburan sosial yang turut memberi manfaat kepada kanak-kanak, golongan kurang upaya, keluarga, serta komuniti secara keseluruhannya," ujar Yang Berhormat.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Isu Warga Emas, agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam pembangunan Buku Pelan Tindakan Warga Emas : Ke Arah Penuaan Berjaya, serta dalam menjayakan sambutan pada hari ini.
Yang Berhormat juga menyampaikan penghargaan yang khusus kepada para warga emas yang diraikan pada hari ini. Kemajuan dan kesejahteraan yang kita nikmati hari ini turut dibina daripada usaha, pengorbanan dan sumbangan generasi terdahulu.
"Pengalaman dan kebijaksanaan biskita adalah warisan yang amat bernilai. Selamat HAWE kepada seluruh warga emas yang berada di dalam dewan ini, mahupun di seluruh negara.
"Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan biskita sekalian kesihatan, kesejahteraan dan usia yang diberkati.
"Semoga segala jasa, pengorbanan dan amal bakti yang telah dicurahkan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada-Nya, serta memberikan manfaat yang berpanjangan kepada agama, bangsa dan negara," ucap Yang Berhormat lagi.